Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berkenan menerima mengadap Ketua Turus Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Thailand (ABDT), Jeneral Tarnchaiyan Srisuwan yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Menyertai bersama Jeneral Tarnchaiyan Srisuwan semasa majlis mengadap tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Biravij Suwanpradhes; Timbalan Ketua Turus Pertahanan (1) ABDT, Jeneral Haspong Yuvarnavandhana; Timbalan Ketua Turus Pertahanan (4) ABDT, Jeneral Yosanant Raicharoen dan Ketua Turus Bersama ABDT, Jeneral Ponpipaat Benyasri.
Juga hadir ialah Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
ABDB dan ABDT mempunyai hubungan pertahanan yang rapat, di mana kerjasama dua hala merangkumi lawatan, pertukaran profesional, latihan dan kursus. Manakala di peringkat pelbagai hala, pertukaran diadakan melalui interaksi seperti Eksesais Cobra Gold.
Eksesais Cobra Gold ke-37 telah berlangsung di Thailand pada 14 hingga 18 Februari lalu, di mana ABDB merupakan salah satu pemerhati eksesais berkenaan. Selain itu, pada November 2017 yang lalu, KDB Daruttaqwa ABDB telah mengambil bahagian dalam Kajian Armada Antarabangsa ASEAN (IFR) sempena Sambutan Ulang Tahun ASEAN ke-50 dan juga Latihan Kebangsaan Maritim ASEAN (AMNEX) yang pertama kali diadakan di Thailand.




Jeneral Tarnchaiyan Srisuwan mula mengambil alih jawatan sebagai Ketua Turus Pertahanan ABDT bermula pada Oktober 2017.
Sementara itu, di ruang lain Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima mengadap secara berasingan isteri Ketua Turus Pertahanan ABDT, Jiraporn Srisuwan; Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, PYT Caterina Ventura dan isteri kepada Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, bekas Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pengiran Datin Nuur ‘Izzah Nabilah binti Pengiran Haji Ahmad Mahdi Al-Sufri serta isteri kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang baharu, Datin Hajah Rasidah binti Haji Brahim.
Mengiringi Jiraporn Srisuwan pada majlis mengadap tersebut ialah isteri Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Supinya Suwanpradhes; isteri Timbalan Ketua Turus Pertahanan (1), Marisa Yuvarnavandhana; isteri Timbalan Ketua Turus Pertahanan (4), Thanaweena Raicharoen; isteri Ketua Turus Bersama, Chairapun Benyasri dan isteri Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Datin Dayang Hajah Rasidah binti Haji Brahim.