Berkenan menerima mengadap

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Menteri Hal Ehwal Luar dan Menteri Wanita Australia, Puan Yang Terutama Senator Marise Payne di Istana Nurul Iman.

Semasa majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Puan Yang Terutama bertukar-tukar pandangan dan berbincang mengenai perkara-perkara mengukuhkan dan meningkatkan hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Australia khususnya mengenai pendidikan, perdagangan dan pertahanan serta isu-isu serantau dan antarabangsa.

Puan Yang Terutama juga menyampaikan sokongan kerajaan Australia kepada Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2021.

Menyertai PYT Senator Marise Payne ke majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, PYT Nicola Rosenblum.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Menteri Wanita Australia, Puan Yang Terutama Senator Marise Payne di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap PYT Senator Marise Payne di Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Muiz Matdani