Berkenan menerima mengadap

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Maldives, Tuan Yang Terutama Abdulla Shahid di Istana Nurul Iman, kelmarin.

Semasa majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama bertukar-tukar pandangan dan berbincang mengenai perkara-perkara bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Maldives yang telah terjalin pada 31 Mac 1984, termasuk meneroka bidang kerjasama yang baharu antara kedua-dua buah negara bagi manfaat bersama.

Menyertai Tuan Yang Terutama ialah Additional Secretary di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Maldives, Shiruzimath Sameer. Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menerima mengadap TYT Abdulla Shahid di Istana Nurul Iman kelmarin. – Gambar Infofoto