Berkenan menerima mengadap

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri kelmarin berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baharu dilantik dan ketua-ketua perwakilan asing baharu ke negara ini, secara berasingan di Qashr Al-Meezaan.

Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom dan Eire, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Kesatuan Myanmar, TYT Pengiran Muhammad Husaini bin Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Persekutuan Jerman, PYT Pengiran Hajah Krtini binti Pengiran Haji Tahir; Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland, PYT Dayangku Hajah Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee dan Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke ASEAN Sekretariat di Jakarta, Republik Indonesia, PYT Pengiran Hairani binti Pengiran Haji Tajuddin.

Ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam tersebut telah menerima surat-surat watikah pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 10 Jun lalu.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan asing yang baharu ke Negara Brunei Darussalam secara berasingan bermula dengan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam, TYT Hok Sophea; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, TYT Tran Van Khoa.

Mereka juga telah menyembahkan surat tauliah pelantikan kehadapan majlis Baginda Sultan pada tarikh yang sama.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri kelmarin berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baharu dilantik dan ketua-ketua perwakilan asing baharu ke negara ini, secara berasingan di Qashr Al-Meezaan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenaan menerima mengadap duta besar istimewa dan mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenaan menerima mengadap duta besar istimewa dan mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam.