Berkenan menerima mengadap

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Perutusan Khas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Johor Darul Ta’zim, yang diketuai oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor, di Istana Nurul Iman, petang tadi.
Rombongan tersebut juga disertai oleh Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Temenggong Johor dan Yang Amat Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj, Tunku Panglima Johor.

Antara kerabat diraja yang berangkat sama dalam majlis mengadap tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Di majlis mengadap tersebut, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail telah menyembahkan warkah perutusan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Johor Darul Ta’zim kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dalam majlis yang sama, Tunku Mahkota Johor juga menyembahkan warkah perutusan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Johor Darul Ta’zim kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.

Juga turut hadir di majlis mengadap berkenaan daripada kedua belah pihak ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar; Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahim bin Ramli; Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji Azmi bin Rohani; Setiausaha Jumaah Majlis DiRaja Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Latiff bin Yusof; dan Mufti Johor, Sohibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Yahya bin Haji Ahmad.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima warkah perutusan Duli Yang Maha Mulia Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Johor Darul Ta’zim daripada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor, di Istana Nurul Iman, kelmarin. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. Manakala rombongan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor disertai Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Temenggong Johor dan Yang Amat Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj, Tunku Panglima Johor.
Baginda Sultan berkenan menyaksikan Tunku Mahkota Johor menyembahkan warkah perutusan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Johor Darul Ta’zim kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.
Keberangkatan Baginda Sultan, DYAM Tunku Ismai, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj ke majlis mengadap di Istana Nurul Iman.
ATAS & BAWAH: Turut berangkat dan hadir ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mufti Kerajaan, Grand Chamberlain, Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Setiausaha Kerajaan Johor, Setiausaha Jumaah Majlis DiRaja Johor dan Mufti Johor.