Berkenan menerima mengadap

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Ahli Majlis Negara dan Menteri Pertahanan Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Jeneral Wei Fenghe di Istana Nurul Iman.

Menyertai TYT Jeneral Wei Fenghe ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong; Timbalan Pemerintah Southern Theater Command, Leftenan Jeneral (Air Force) Jia Zhigang; Timbalan Ketua Pejabat Kerjasama Ketenteraan Antarabangsa Suruhanjaya Ketenteraan Pusat (OIMC), Mejar Jeneral Song Yanchao; Ketua Pengarah Biro Penyelidikan Pejabat Jeneral, Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Mejar Jeneral Liu Yangtong dan Staf Biro Hal Ehwal Asia OIMC, Kolonel Jiang Bin.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

Kerjasama pertahanan dan ketenteraan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China telah dimeterai melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pertukaran Ketenteraan pada 12 September 2003 dan diperkukuhkan lagi melalui penandatanganan MoU mengenai Memperkukuh Kerjasama Pertahanan pada 13 September 2017 sewaktu keberangkatan negara Baginda Sultan ke Republik Rakyat China.

Kedua-dua belah pihak juga mempunyai hubungan pertahanan yang mesra, di mana Negara Brunei Darussalam baru-baru ini telah menerima dana sumbangan berbentuk peralatan perubatan dari Republik Rakyat China dalam usaha untuk memerangi wabak COVID-19 pada bulan Mei 2020.

Hubungan pertahanan dua hala ini juga merangkumi pelbagai interaksi termasuk pertukaran lawatan, lawatan muhibah kapal tentera, latihan dan kursus serta saling bekerjasama di peringkat pelbagai hala di bawah rangka kerja Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN+ (ADMM-Plus).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Ahli Majlis Negara dan Menteri Pertahanan Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Jeneral Wei Fenghe di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menerima mengadap TYT Jeneral Wei Fenghe di Istana Nurul Iman, kelmarin.
Baginda Sultan berkenan menerima pesambah daripada TYT Jeneral Wei Fenghe.