Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Pengerusi Zhejiang Hengyi Group dan Hengyi Industries Sdn Bhd, Qiu Jianlin di Istana Nurul Iman, petang tadi.
Semasa majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Pengerusi Zhejiang Hengyi Group dan Hengyi Industries Sdn Bhd antara lain menyentuh mengenai perkembangan Loji Penapis Minyak dan Petrokimia Pulau Muara Besar serta sumbangannya kepada ekonomi negara dan penjanaan peluang-peluang perniagaan serta pekerjaan tempatan daripadanya.
Terdahulu di tempat berasingan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat-Syarikat Usahasama Brunei Shell (BSJV) berkenan menerima mengadap Qiu Jianlin di Qashr Al-Meezan, pagi tadi.
Semasa majlis mengadap tersebut, Duli Yang Teramat Mulia dan Pengerusi Zhejiang Hengyi Group dan Hengyi Industries Sdn Bhd bertukar-tukar fikiran mengenai aktiviti-aktiviti perniagaan utama di sektor tenaga hiliran dan perkembangan keupayaan pekerja tempatan.
Turut hadir semasa kedua-dua majlis mengadap tersebut ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein; Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; dan Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries Sdn Bhd, Chen Lian Cai.
Syarikat Hengyi Industries merupakan syarikat usahasama di antara Strategic Development Capital Fund bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Zhejiang Hengyi Group dari Republik Rakyat China. Dengan pelaburan sebanyak AS$3.445 bilion, projek ini merupakan pelaburan langsung asing terbesar di Negara Brunei Darussalam.
Hengyi Industries mula membina loji penapisan minyak pada tahun 2017 dan seterusnya memulakan penghasilannya pada November 2019. Melalui penghasilan petrokimia berskala mega ini, Hengyi Industries berperanan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan perkembangan sosial jangka panjang Negara Brunei Darussalam, sekali gus menyediakan asas kukuh ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Setakat ini, Hengyi Industries telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 666 warganegara Brunei, dan peluang perniagaan kepada 59 perusahaan kecil dan sederhana dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, penyediaan makanan, pengangkutan dan logistik.
Selain itu, Hengyi Industries juga telah menawarkan 203 biasiswa kepada warganegara Brunei untuk melanjutkan pelajaran di luar negara sejak 2014, yang mana sebanyak 68 graduan yang telah menamatkan pengajian kini bekerja di Hengyi Industries.


