Berkenan menerima mengadap

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Setiausaha Negara Pertama dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Hal Ehwal Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan United Kingdom, Tuan Yang Terutama Dominic Raab MP yang mengadakan lawatan kerja ke negara ini selama dua hari.

Semasa majlis mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama telah berbincang mengenai isu-isu kerjasama dua hala dan serantau yang berkepentingan bersama di antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom, di mana ia mencerminkan hubungan yang sudah lama terjalin di antara kedua-dua buah negara.

Menyertai bersama Tuan Yang Terutama semasa majlis mengadap tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, TYT John Virgoe dan Ketua Jabatan Asia Timur, London, Sarah Catherine Cooke.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menerima mengadap TYT Dominic Raab MP di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto