Berkenan menerima mengadap

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini, berkenan menerima mengadap secara berasingan ketua-ketua perwakilan asing yang akan menamatkan perkhidmatan di Qashr Al-Meezaan.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota mula-mula berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Phonetavy Boutdara.

TYT Phonetavy Boutdara telah menyembahkan surat tauliah pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 7 Julai 2018.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, TYT Ajaneesh Kumar.

Tuan Yang Terutama telah menyembahkan surat tauliah pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda pada 15 Januari 2019.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke Negara Brunei Darussalam, TYT Ajaneesh Kumar di Qashr Al-Meezan, pada majlis menerima mengadap ketua-ketua perwakilan asing yang akan menamatkan perkhidmatan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menerima mengadap TYT Phonetavy Boutdara. – Gambar oleh Infofoto