Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan menerima mengadap secara berasingan seorang menteri dan dua perwakilan asing pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin.
Menyertai Tuan Yang Terutama ialah Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Nur Ezira Mahadi dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan Malaysia.
Negara Brunei Darussalam dan Malaysia telah menjalinkan hubungan dua hala yang erat dan mesra serta akan melakar detik bersejarah sempena hubungan diplomatik ke-40 tahun pada tahun ini yang mana kerjasama pertahanan di antara kedua-dua buah negara telah mula dimeterai melalui penandatanganan memorandum persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada 14 Februari 1992.
Kedua-dua buah negara telah terlibat dalam pelbagai kerjasama dua hala termasuk mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama, latihan ketenteraan bersama dan program kursus serta aktif dalam kerjasama pelbagai hala khususnya dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang menegaskan komitmen kedua buah negara terhadap kerjasama keselamatan serantau.
TYT Dato’ Seri Mohamed Khaled dan rombongan berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan rasmi selama dua hari bermula 8 hingga 9 Julai.
Sementara itu, Baginda Sultan turut menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, TYT John Virgoe dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, TYT Kim Soung-eun yang akan menamatkan perkhidmatan.
TYT John Virgoe telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 10 September 2020.
Manakala, TYT Kim Soung-eun menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Baginda Sultan pada 11 Oktober 2021.