BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Presiden Islamic Development Bank (IsDB), Tuan Yang Terutama Dr Muhammad Al-Jasser, yang mengadakan lawatan kerja ke negara ini selama dua hari, pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Semasa majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama telah berbincang mengenai perkembangan-perkembangan terkini usaha IsDB dalam mengembangmajukan sosioekonomi negara-negara ahlinya dan peluang-peluang kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan IsDB khususnya dengan penandatanganan Memorandum Persefahaman mengenai Perkongsian Strategik dan Rangka Kerja Penglibatan Negara untuk Brunei Darussalam.
Menyertai Tuan Yang Terutama semasa majlis mengadap tersebut ialah Pengarah di Regional Hub of IsDB di Republik Indonesia, Datuk Amer Bukvic; dan Principal Executive Assistant kepada Tuan Yang Terutama Presiden IsDB, Rami Abdelkafi.
Juga hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.