Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi berkenan menerima mengadap secara berasingan ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam yang akan menamatkan perkhidmatan di Qashr Al-Meezan.
Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman. Tuan Yang Terutama telah menyembahkan surat tauliah pelantikannya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 23 Mac 2016.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, TYT Craig Boyd Allen yang telah menyembahkan surat tauliah pelantikannya kehadapan majlis Baginda Sultan pada 9 Mac 2015.
Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Qatar ke Negara Brunei Darussalam, TYT Saleh Mohammed Al-Nesef.
TYT Saleh Mohammed Al-Nesef menyembahkan surat tauliah pelantikannya kehadapan majlis Baginda Sultan pada 25 Jun 2012.




































