Berkenan menerima mengadap

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO), Dr Abdulaziz Othman Altwaijri di Istana Nurul Iman.

Semasa majlis mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan dengan anugerah Pingat Emas ISESCO oleh Dr Abdulaziz Othman Altwaijri sebagai pengiktirafan sokongan dan komitmen Baginda dan negara ini kepada ISESCO dalam pembangunan pendidikan, sains dan kebudayaan di negara-negara Islam.

Pingat Emas ISESCO merupakan penganugerahan tertinggi yang diberikan oleh ISESCO kepada ketua negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menerima Pingat Emas ISESCO daripada Dr Abdulaziz Othman Altwaijri di Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Menyertai rombongan Dr Abdulaziz Othman Altwaijri ialah Pengarah Perhubungan Luar dan Kerjasama ISESCO, Dr Ahmad Said Bah. Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hamzah bin Sulaiman.

Dr Abdulaziz Othman Altwaijri dan rombongan berada di negara ini bagi rangka lawatan kerja selama empat hari.