Berkenan menerima mengadap

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak selaku Menteri bertanggungjawab Hal Ehwal Islam Sarawak, Datuk Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi di Istana Nurul Iman.

Menyertai bersama Datuk Dr Haji Abdul Rahman pada majlis mengadap ialah Yang Di-Pertua, Datu Haji Misnu bin Haji Taha; Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin; Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abang Haji Mohd Shibli bin Haji Abang Mohd Nailie dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Yang Amat Arif Haji Awang Suhaili bin Ledi.

Juga hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Sementara itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, petang tadi turut berkenan menerima mengadap Tuan Yang Terutama Kentaro Sonoura, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, juga di Istana Nurul Iman. Menyertai bersama Tuan Yang Terutama Kentaro Sonoura ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato dan Pengarah Bahagian Asia Tenggara Kedua, Jabatan Hal Ehwal Asia Tenggara dan Barat, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Jepun, Shingo Miyamoto.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Tuan Yang Terutama Kentaro Sonoura dan delegasi berada di negara ini bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari. Tujuan lawatan kerja tersebut adalah bagi mengeratkan lagi kerjasama kedua-dua negara serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama yang berkaitan dengan hubungan dua hala dan serantau. Hubungan diplomatik antara Brunei dan Jepun telah terjalin sejak 2 April 1984. Semenjak itu, kedua-dua negara bekerjasama secara meluas dalam pelbagai bidang bukan sahaja dalam tenaga dan pelaburan tetapi juga pendidikan dan pertukaran belia dan budaya.

ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menerima pesambah daripada Datuk Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi (atas) dan Tuan Yang Terutama Kentaro Sonoura (bawah).

KDYMM ketika berkenan mengadap TYT Kentaro Sonoura di Istana Nurul Iman.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menerima pesambah daripada Datuk Dr Haji Abdul Rahman.
SAHAM
TerdahuluBerkenan menerima mengadap
SeterusnyaKim tiba di Rusia