Berkenan menerima mengadap ketua perwakilan asing

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, hari ini, berkenan menerima mengadap secara berasingan dua ketua perwakilan asing pada majlis yang berlangsung di Balai Penghadapan Bukit Kayangan.

Mula-mula, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Vladimir Borisovich Goncharenko yang menyembahkan surat watikah pelantikannya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 18 September 2019.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Stephen Lindsay yang akan menamatkan perkhidmatannya. Beliau menyembahkan surat watikah pelantikannya kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 10 Ogos 2017.

DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan menerima mengadap TYT Richard Stephen Lindsay.
DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir ketika berkenan menerima mengadap TYT Vladimir Borisovich Goncharenko di Balai Penghadapan Bukit Kayangan.