Berkenan menerima mengadap ketua perwakilan asing

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap secara berasingan ketua-ketua perwakilan asing yang akan menamatkan perkhidmatan pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Christian Ramage yang menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 18 Januari 2018.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Eiji Yamamoto, yang menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada 18 September 2019.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap TYT Christian Ramage pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman kelmarin.
Baginda Sultan ketika berkenan menerima mengadap TYT Eiji Yamamoto pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman.