Berkenan menerima mengadap ketua perwakilan baharu

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi berkenan menerima mengadap ketua-ketua perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu di Qashr Al-Meezaan.

Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin @ Haji Mohd Saidin; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Islam Iran, Tuan Yang Terutama Haji Ismail bin Haji Abdul Manap; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Pengiran Abdul Samad bin Pengiran Haji Metassan.

Ketua-ketua perwakilan tersebut menerima surat-surat watikah pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kelmarin.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Hamit Ersoy; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kim Soung-eun; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.

Ketua-ketua perwakilan asing yang baharu tersebut juga telah menyembahkan surat-surat tauliah pelantikan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, kelmarin.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turki ke Negara Brunei Darussalam, TYT Hamit Ersoy; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, TYT Kim Soung-eun; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, TYT Abel Guterres; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah. – Gambar oleh Infofoto.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama TYT Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud, TYT Haji Ismail dan TYT Pengiran Abdul Samad. – Gambar oleh Infofoto