Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), hari ini, berkenan menerima mengadap Komander Perintah Pasifik Amerika Syarikat (USPACOM), Laksamana Harry Binkley Harris Jr, di Istana Nurul Iman.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Boyd Allen.
Kerjasama yang erat dalam bidang pertahanan dan ketenteraan antara Negara Brunei Darussalam dan AS telah lama dijalin melalui penandatanganan memorandum persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada 29 November 1994.
Kedua-dua belah pihak telah mengekalkan hubungan dalam peringkat dua hala terutamanya melalui pertukaran profesional, latihan dan eksesais.
Manakala di peringkat pelbagai hala, pertukaran diadakan melalui interaksi dalam Southeast Asia Cooperation and Training (SEACAT), Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan rakan-rakan dialog (ADMM-Plus).
Eksesais CARAT merupakan eksesais yang diadakan setiap tahun antara Negara Brunei Darussalam dan AS, yang mana, pada November 2017, Eksesais CARAT ke-23 telah diadakan di Negara Brunei Darussalam dan latihan siri yang ke-24 dijangka akan berlangsung pada Oktober tahun ini.