Wednesday, February 1, 2023
23.8 C
Brunei

-

Berkenan mengadakan lawatan tidak berjadual

Oleh Sim Y. H. 

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) perlu mempunyai pengurusan yang cemerlang dengan kepimpinan yang bertanggungjawab, berkebolehan, berkewibawaan, telus, bagus, cekap serta tegas supaya ia dapat terus cemerlang dalam industri penerbangan.

Penekanan itu dibuat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kampus RB, Jalan Kustin, hari ini.

Baginda bertitah mahu supaya RB mempunyai pengurusan yang cemerlang di mana ia memerlukan mekanisme yang berpengalaman dan profesional.

“Beta melihat perkara ini masih memerlukan penilaian, sama ada pengurusan eksekutif yang menerajui RB, sudah mencapai tahap yang dikehendaki untuk ini, jika belum bererti masih saja diperlukan usaha-usaha ke arah ini.

“Untuk mara ke hadapan itu, termasuklah menyemak dan menilai kepimpinan serta tahap pencapaian yang sudah di dapat…tentu saja yang mahu dinilai ialah kewibawaan, kebolehan dan ketelusan bertindak para pegawai,” tegas Baginda

Baginda menekan bahawa jika seseorang ketua lebih suka dan banyak melepaskan tanggungjawabnya kepada pegawai-pegawai bawahannya, ia adalah satu alamat bahawa ketua itu kurang wibawa atau kurang kebolehan atau tidak telus dalam kerja.

“Di bawah ketua seperti ini tidak banyak yang boleh diharapkan untuk memperolehi hasil kerja yang baik.

“Tidaklah salah seorang ketua memberi arahan tetapi arahan itu biarlah berpatutan, bukannya arahan-arahan tidak menentu. Adapun arahan-arahan yang tidak menentu, boleh membawa kepada murung dan menyakitkan minda.

“Jika terdapat skop tugas yang patut dibuat oleh ketua maka perlulah ketua itu sendiri yang membuatnya, bukan ditolak dan diberikan kepada orang lain,” titah Baginda.

Dalam titahnya lagi, Baginda Sultan menekankan amat penting untuk mengenal pasti halangan yang menyebabkan pengurusan tidak cemerlang dan ia harus diatasi.

Baginda bertitah, “Sangat mustahak untuk mengenal pasti halangan-halangan yang menyebabkan pengurusan tidak cemerlang dan jika ada, maka sayugia, ia mesti diatasi.”

“Beta melihat antara halangan-halangan itu ialah wujudnya skop kuasa yang tidak jelas antara pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan Eksekutif.”

Titah Baginda lagi, “Misalnya sebelum ini, Pengurusan Eksekutif mempunyai kuasa untuk menukar dan menaikkan pangkat bagi staf bawahan, tetapi pada masa ini, kuasa berkenaan terletak kepada tiga lapisan jawatankuasa iaitu Lembaga Pengarah RB, Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) dan pihak Darussalam Asset (DA).

“Ini termasuk untuk meluluskan peruntukkan satu-satu projek, maka dikehendaki, ia mesti melalui komiti-komiti ini sehingga boleh mengambil masa enam bulan atau lebih. Perkara ini, dianggap telah merugikan RB.

“Halangan lain mungkin terdapat, sebilangan ahli Lembaga Pengarah bersikap kurang profesional dalam menangani beberapa isu seperti isu pembayaran gaji bagi seorang Chief Commercial Officer and Planning Officer (CCPO), yang sampai masa ini belum menerima gaji selaku CCPO walaupun telah dilantik ke jawatan tersebut mulai 14 Jun 2021,” tekan Baginda.

“Apabila pegawai ini mahu menarik diri dan bersedia untuk dibalikkan semula ke jawatan yang lamanya, Senior Vice President Ground Services, pihak Lembaga Pengarah menyatakan beliau tidak boleh berbuat demikian dengan alasan, pelantikan beliau sebagai CCPO adalah atas titah perkenan Beta.”

“Inilah satu sikap yang kurang bagus iaitu sangat cenderung dan cepat untuk menjadikan Sultan sebagai perisai diri,” titah Baginda lagi.

“Beta memang mengakui bahawa Beta lah yang memperkenankan lantikan tetapi setelah dilantik adakah Beta juga yang melarang supaya gaji tidak dibayar.”

Baginda mendedahkan bahawa satu lagi faktor yang menyebabkan pengurusan tidak cemerlang dan kurang ketegasan dalam mengambil keputusan.

“Lagi faktor menyebabkan pengurusan tidak cemerlang ialah kurangnya ketegasan dalam mengambil satu-satu keputusan. Contohnya, pernah berlaku seseorang penjawat awam telah meminta pihak RB untuk menguruskan penerbangan beberapa orang warga asing dan beg-beg mereka melalui connection joining flight di antara RB dan penerbangan negara berkenaan.

“Pada mulanya, RB menolak tidak dapat menerima beg-beg penumpang semasa check-in. Ini kerana tiada perjanjian mengenainya antara pihak RB dan pihak negara berkenaan.”

Baginda bertitah, “Tetapi penjawat awam bertindak menghubungi langsung Pengerusi Lembaga Pengarah RB dengan pendekatan berbaur ancaman dan paksaan sehingga Pengerusi Lembaga Pengarah pun membenarkannya tapi tanpa mengambil kira, sekiranya beg-beg itu bermasalah seperti hilang dan sebagainya, maka pihak RB lah yang akan menanggung kerugiannya.”

“Kejadian ini tidak dapat disangkal merupakan kelemahan dan kesilapan yang amat ketara.”

“RB selaku organisasi yang dibanggakan perlu mengatasi kekurangan-kekurangan atau kelemahan-kelemahannya, ia tidak boleh diam begitu saja tanpa sebarang usaha untuk mengatasi kekurangan atau kelemahan tersebut.”

“Misalnya, masa ini, RB kekurangan jurutera dan juruteknik, apakah sudah ada langkah yang diambil untuk mengatasinya. Begitu juga, jangan diambil remeh perkara yang tidak patut diambil remeh seperti mengenai hal ehwal kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE), tidaklah wajar ia diremehkan seperti mengambil sikap kakitangan RB tidak perlu menghadiri Bengkel Safety Management System (SMS) dan Safety Risk Management (SRM).”

Baginda menekankan, “Tidakkah yang mengambil sikap sedemikian itu akan menyalahi piawaian penerbangan peringkat nasional dan antarabangsa. Malah boleh juga menjadi sebab mudahnya berlaku musibah ke atas pekerja atau pegawai terlibat dan bahkan boleh menjejaskan reputasi RB dalam sektor penerbangan.”

Baginda seterusnya bertitah, “Berdasarkan Minit Mesyuarat 29 Jun 2021, Lembaga Pengarah RB telah bersetuju untuk menghapuskan hutang lapuk berjumlah $6,511,893.16 daripada beberapa pihak kerana tidak dapat dikutip atas sebab-sebab tertentu.

“Antara sebab tidak dapat dikutip ialah invois telah dipertikaikan sebagai tanpa dokumen sokongan yang mencukupi untuk menuntut bayaran. Pihak-pihak atau kategori-kategori pelanggan yang tidak dapat dituntut itu ialah kedutaan Brunei Darussalam dan pesuruhjaya tinggi luar negara, VVIP, syarikat penerbangan lain, kerajaan Brunei Darussalam.”

“Sedikit menghairankan, timbul sampai dipertikaikan kerana tiada dokumen yang mencukupi. Bagaimana boleh berlaku dokumen tidak mencukupi, apa patutnya invois dan dokumen mesti lebih awal diteliti sebelum berbangkit tuntutan bayaran.

Baginda bertitah supaya mana-mana salah akan dibetulkan atau mana-mana yang kurang akan dilengkapkan terlebih dahulu.

“Enam juta ringgit bukanlah satu jumlah yang kecil untuk senang-senang dihapuskan. Nanti jika pengurusan tidak berubah maka ada pula hutang lapuk yang datang. Berapa banyakkah RB akan menanggung kerugian? Inilah akibatnya, jika pengurusan lemah, tidak cermat.”

Baginda bertitah, “Sebenarnya RB mempunyai potensi yang baik dalam industri penerbangan. Buktinya pada tahun ini, RB sekali lagi telah dinobatkan sebagai pemenang Asia’s Leading Cabin Crew 2022 semasa Acara World Travel Awards di Ho Chi Minh, Vietnam.”

“Penobatan ini merupakan kali ketiga berturut-turut yang diraih oleh RB bermula dari tahun 2020. Sudah tentu kejayaan ini akan dapat menarik lebih ramai pelanggan dari luar negara. Potensi hebat ini perlu terus di kukuh untuk menggalakkan kecemerlangan, malah bukan sahaja dalam industri penerbangan bahkan dalam semua segi pengurusan RB mesti berazam untuk mencapai tahap.

“Untuk akhirnya, Beta ingin mengemukakan beberapa pertanyaan sahaja. Adakah pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan Eksekutif merancang untuk membuat retention plan bagi warga RB terutama daripada kalangan juruterbang, jurutera dan juruteknik?

“Kedua, mengenai HSE, setakat mana RB melaksanakan piawaian HSE yang telah disediakan dan berapa kerap insiden pelanggaran HSE dalam jangka masa setahun. Berapa kerap audit operasi dilakukan bagi memastikan hal ehwal pengurusan giat dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengurusan pembelian dari pihak pelanggan?

“Dan bagi jangka masa lima tahun kebelakangan, berapakah jumlah hutang lapuk yang terpaksa dihapuskan oleh RB?” soal Baginda.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat membuat lawatan tidak berjadual ke RB.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hampir 50 maut dalam insiden letupan masjid

PESHAWAR, PAKISTAN, 30 JAN – Pegawai polis antara kira-kira 47 orang terbunuh dan 150 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah masjid di dalam...
- Advertisment -