Berkenan menghadiri Mesyuarat Kongres AFF ke-27

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Timbalan Presiden
Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) berkenan menghadiri Mesyuarat Kongres AFF ke-27 tahun 2020 baru-baru ini.

Semasa mesyuarat maya, yang diadakan buat pertama kalinya berikutan wabak koronavirus, Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth telah memuji 12 anggota persatuan di bawah badan persatuan bola sepak serantau kerana bertindak tegas dalam menangani wabak tersebut.

“Sejak bermulanya wabak, AFF bekerjasama dengan anggota persatuan (MA) kami untuk meningkatkan kesediaan dan kemampuan mereka untuk menghindari masalah kewangan, operasi dan strategi.

“Kami antara lain telah mengembangkan manual COVID-19 untuk membantu anggota kami mengurangkan masalah sebenar atau yang berpotensi di negara mereka.

“Saya ingin memuji MA kami serta Sekretariat AFF kerana bertindak tegas dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menangani wabak ini,” ujar Mejar Jeneral Khiew
Pendemik tersebut telah menjejaskan rantau ini dan menyebabkan penjadualan semula atau pembatalan liga dan aktiviti lain.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah selaku Timbalan Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) semasa berkenan menghadiri Mesyuarat Kongres AFF-27 secara maya baru-baru ini. – Gambar serahan AFF

Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata, “Kami yakin keadaan akan bertambah baik tidak lama lagi dan kami dapat kembali menganjurkan pertandingan dan aktiviti lagi.”

Beliau juga memuji pasukan belia yang dikendalikan oleh persatuan anggota masing-masing terutama enam negara yang layak ke Kejohanan Bawah-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

AFF akan diwakili oleh Indonesia, Kemboja, Australia, Vietnam, Laos dan Malaysia dalam pertemuan bawah-19, yang dijadualkan diadakan di Uzbekistan tahun depan.

Beliau juga memuji Sekretariat AFF, yang diketuai oleh Setiausaha Winston Lee, kerana telah meningkatkan nilai pengurusan dan komersial AFF secara signifikan.

Baru-baru ini, AFF bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) untuk menganjurkan bengkel dua hari bertajuk ‘Bouncing Back from COVID-19.’

AFF akan mengadakan bengkel dan program yang serupa untuk kepentingan ahli.

Presiden Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan turut menghadiri mesyuarat tersebut.