Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Berkenan menghadiri mesyuarat post-mortem Sukan SEA Vietnam

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke mesyuarat post-mortem bagi Sukan SEA ke-31 2021 yang berlangsung di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

    Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan.

    Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Awang Murat.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara semasa mesyuarat tersebut berkenan mengurniakan sabda menzahirkan ucapan tahniah kepada para atlet yang berjaya meraih pingat dalam temasya Sukan SEA ke-31 2021 di Vietnam, iaitu bagi atlet sukan wusyu dan pencak silat serta atlet-atlet negara lainnya yang telah menunjukkan prestasi dan semangat kesukanan yang tinggi.

    Dalam sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa mesyuarat tersebut, beliau menyembahkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di atas sokongan dan kebenaran yang diberikan bagi kontinjen negara mengikuti Sukan SEA ke-31 2021.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan menghadiri mesyuarat post-mortem Sukan SEA Vietnam kelmarin.

    Sementara itu, laporan kontinjen Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat tersebut disembahkan oleh chef de mission, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly dan diikuti dengan sesi soal jawab bersama atlet, jurulatih serta persatuan sukan kebangsaan dan seterusnya membincangkan hal-hal lain.

    Dalam laporan kontinjen negara yang disembahkan oleh Haji Mohamad Rosfazilah antara lain menyembahkan bahawa terdapat dua sukan yang telah mencapai sasaran yang melibatkan lima orang atlet iaitu dalam sukan wusyu dan pencak silat.

    Atlet wusyu negara, Mohammad Adi Salihin bin Roslan berjaya meraih pingat emas manakala dalam sukan pencak silat pula menerusi Dayang Anisah Najihah binti Abdullah, Dayang Norleyermah binti Haji Raya dan Dayang Nur Wasiqah Aziemah binti Rosihan yang merangkul pingat perak sementara Mohd Saifullah bin Haji Mohd Suhaimi mendapat pingat gangsa.

    Seterusnya, chef de mission menyembahkan analisa pencapaian kontinjen negara di temasya Sukan SEA Vietnam dan rumusan serta cadangan bagi merapatkan jurang kelemahan dan perkara yang perlu diberikan perhatian.

    Mesyuarat post-mortem tersebut adalah diharapkan dapat memberikan manfaat dan hala tuju bagi meningkatkan lagi mutu serta kualiti atlet, di samping mengatur strategi dan pendekatan yang lebih bersistematik dalam mempersiapkan atlet negara ke temasya sukan seterusnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...