Saturday, December 2, 2023
22.9 C
Brunei

    -

    Berkenan mengurniakan anugerah biasiswa

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan berangkat bagi menyempurnakan pengurniaan anugerah biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) kepada sembilan orang penuntut bertempat di Istana Nurul Iman.

    Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik, selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.

    Pada tahun ini, seramai tujuh penuntut menerima anugerah biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan bagi peringkat Sarjana Muda, Awangku Muhammad Ashim Afiif bin Pengiran Haji Mohd Zin adalah penuntut lepasan Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dan beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir. Sementara itu, Awang Abdul Majid bin Haji Shazli, penuntut lepasan SMALHB akan meneruskan pengajian dalam jurusan Syariah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.

    Dayang Nur Iwana Athilah binti Haji Mahri yang merupakan penuntut lepasan SMALHB akan meneruskan pengajian dalam jurusan Lughah Arabiyyah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.

    Manakala, Patricia Sim Xiang Ru, penuntut lepasan dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) akan meneruskan pengajian dalam jurusan Medicine, Surgery and Obstetrics di Trinity College Dublin, Ireland. Lim Jia Yi dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) akan meneruskan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di University College London, United Kingdom (UK).

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bergambar ramai dengan para penerima biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Istana Nurul Iman, kelmarin. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.– Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menganugerahkan biasiswa Sultan’s Scholar kepada penerima pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman kelmarin.

    Haji Mohammad Wajdi bin Haji Mohammad Jaafar yang merupakan penuntut lepasan SMALHB akan melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Awam di University of Edinburgh, United Kingdom. Dayang Elmeeza Bazillah binti Abdullah Mohammad Yasrinal Eddy Abdullah, penuntut lepasan JIS, akan meneruskan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di University College London, UK.

    Manakala dua orang penuntut lagi menerima anugerah biasiswa tersebut bagi meningkatkan tahap pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana iaitu Awang Muhammad Fikri bin Haji Ali, lepasan University of Southampton, UK dan telah lulus dengan memperolehi Kepujian Kelas Pertama dalam jurusan MORSE (Mathematics, Operational Research, Statistics and Economics) dan Dayang Nurhidayah binti Abdul Hamid, lepasan Universiti Brunei Darussalam (UBD), yang telah lulus dengan memperoleh Kepujian Kelas Pertama dalam jurusan Sosiologi dan Antropologi. Beliau akan meneruskan pengajian dalam jurusan Psychology of Mental Health di University of Edinburgh, UK.

    Selepas majlis pengurniaan anugerah biasiswa tersebut, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan beramah mesra dengan para penerima anugerah biasiswa Sultan’s Scholar dan ibu bapa penuntut.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar ramai bersama para penerima anugerah biasiswa.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan dan sebahagian pengetua dari institusi-institusi tingkatan enam di seluruh negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    New Zealand larang guna telefon bimbit di sekolah

    WELLINGTON, 1 DIS – Telefon bimbit akan dilarang di sekolah-sekolah di seluruh New Zealand, kata Perdana Menteri konservatif Christopher Luxon hari ini, ketika kerajaannya...