Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat bagi menyertai perlawanan persahabatan bola jaring antara Pasukan Royal Bees (RB) dengan Pasukan Alumni yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, petang tadi.
Dalam perlawanan persahabatan tersebut, Yang Teramat Mulia mewakili pasukan Alumni dan perlawanan telah dimenangi oleh Pasukan RB dengan keputusan 18-11.
Turut berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Terdahulu, Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan RB menentang pasukan Bola Jaring Kebangsaan Bawah 21 (B21).
Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Setiausaha Tetap (Pentadbiran,Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; para pegawai dari KKBS; dan Presiden Persatuan Bola Jaring Brunei (BNA), Leftenan Kolonel (B) Hajah Wan Shahlimar binti Haji Suhaili.
Selepas perlawanan terse-but, Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama Pasukan RB dan Pasukan Bola Jaring Kebangsaan B21 dan seterusnya menandatangani bola yang disembahkan oleh ahli BNA.
Perlawanan persahabatan itu merupakan sebahagian daripada Jerayawara Netball Kitani 2022 yang diadakan bersempena Festival Hari Belia Kebangsaan ke-17 Tahun pada tahun ini.
Jerayawara tersebut dianjurkan oleh BNA dengan kerjasama antara pelbagai agensi yang berkepentingan dalam pembangunan sukan bola jaring termasuklah Majlis Sukan Sekolah-sekolah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Sekolah Sukan dan Netcademy.
Matlamat jerayawara tersebut diadakan adalah untuk mengutip sumbangan kewangan bagi menyokong persiapan pasukan kebangsaan di Kejohanan Bola Jaring Asia dan Sukan Malaysia 2022 (SUKMA).