Berkenan pengerusikan mesyuarat Hari Keputeraan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Penaung Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-72, hari ini, berkenan berangkat ke Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-72 tahun bagi tahun 2018 yang berlangsung di Bangunan JPM.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz selaku penasihat Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM ke-72 tahun dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Leputeraan KDYMM ke-72 tahun bagi tahun 2018.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya dijunjung untuk sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dalam sembah alu-aluannya menyembahkan keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke mesyuarat itu, jelas membuktikan keperihatinan, pemedulian serta komitmen DYTM terhadap peranan dan tugas Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan.

“Ini lebih-lebih lagi mengenai dengan persediaan dan persiapan atur cara-atur cara yang telah dan akan diungkayahkan sama ada oleh Jawatankuasa di Peringkat kebangsaan mahupun jawatankuasa di peringkat Daerah, terutama sekali acara kemuncak di daerah-daerah iaitu Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di keempat daerah.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-72 tahun. – Gambar oleh Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-72 Tahun Bagi Tahun 2018.

“Acara ini adalah suatu acara yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat dan penduduk di daerah-daerah pada menjunjung keberangkatan Paduka Ayahanda Duli Tuanku, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada menzahirkan rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi seluruh rakyat dan penduduk negara ini kehadapan Paduka Ayahanda Duli Tuanku.”

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pada majlis berkenaan telah berkenan untuk mengurniakan sabda.

Seterusnya, mesyuarat mendengarkan laporan mengenai dengan persediaan-persediaan dan persiapan-persiapan acara-acara utama dan suasana Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM yang ke-72 Tahun seperti Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam dan Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke daerah-daerah bagi majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama rakyat dan penduduk.

Mesyuarat juga mendengarkan laporan mengenai dengan persediaan Majlis Doa Kesyukuran, Istiadat Perbarisan Kehormatan, Majlis ramah mesra bersama rakyat dan penduduk di daerah-daerah serta Majlis Khatam Al-Quran Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Penuntut-Penuntut Sekolah Seluruh Negara, Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormatan, Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di keempat-empat daerah.

Turut diadakan ialah Majlis Khatam Al-Quran Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Penuntut-Penuntut Seluruh Negara dan Regatta Brunei Darussalam.