Berkenan rasmi Masjid Ar-Rahim

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

TUTONG, 17 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke masjid baharu Kampung Bukit Panggal, Tutong, bagi menunaikan sembahyang fardu Jumaat yang pertama di masjid tersebut.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Sejurus keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung bagi menandatangani plak perasmian pembukaan masjid baharu tersebut dan diiringi dengan laungan takbir sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memaklumkan bahawa Baginda Sultan telah mengurniakan titah perkenan bagi bangunan masjid baharu Kampung Bukit Panggal diberikan nama rasmi sebagai Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal berkuat kuasa mulai hari ini.

Azan sembahyang fardu Jumaat yang pertama di masjid tersebut dilaungkan oleh Imam Haji Hasmali bin Haji Talip, manakala itu, khutbah Jumaat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin dan sembahyang fardu Jumaat diimamkan oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.

Masjid Ar-Rahim dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lima ekar, yang mana kerja-kerja pembinaan masjid berkenaan bermula pada Mei 2018. Ia merupakan masjid yang kedua dibina menggunakan peruntukan perbelanjaan daripada Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dengan anggaran berjumlah $3 juta.

Masjid tersebut boleh menampung kira-kira 800 hingga 1,000 jemaah. Antara kemudahan yang ada termasuk dewan sembahyang utama lelaki, ruang sembahyang perempuan, bilik kuliah, perpustakaan dan teknologi maklumat, pejabat pentadbiran, bilik tetamu, pejabat imam dan bilal, tandas dan tempat wuduk orang berkeperluan khas, serta bilik pengurusan jenazah.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Tutong. Berangkat sama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan sembahyang fardu Jumaat di Masjid Ar-Rahim.
Baginda Sultan dan paduka-paduka anakanda berkenan menerima junjung ziarah daripada jemaah-jemaah pada majlis perasmian masjid baharu.
Para jemaah ketika mendengar khutbah Jumaat di Masjid Ar-Rahim.
Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal.