Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Berkenan rasmi MHT ke-12 UNISSA

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj (MHT) ke-12 UNISSA di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi MHT ke-12 UNISSA.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda perasmian dan menandatangani plak perasmian MHT ke-12 UNISSA.

    Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat menyaksikan galeri Pameran MHT UNISSA di ruang legar.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah semasa berkenan menyaksikan pameran MHT yang bertemakan ‘Teknologi Islam Memacu Pembangunan Ummah’.
    ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan merasmikan MHT ke-12 UNISSA di Pusat Persidangan Antarabangsa, kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai.

    Pameran mencerminkan maksud tema MHT tahun ini iaitu ‘Teknologi Islam Memacu Pembangunan Ummah’.

    Pemilihan tema tersebut adalah untuk menonjolkan usaha UNISSA bagi mejadikan universiti tersebut sebuah universiti yang peka dengan perkembangan terkini dalam era digital dari segi perkhidmatan, pengajaran dan pembelajaran di samping memberi sumbangan kepada masyarakat.

    Tema itu juga bertepatan dengan penubuhan Fakulti Teknologi Islam yang telah diperkenankan penubuhannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Hafl Al-Takharruj ke-10 yang akan membekalkan para pelajar dengan kemahiran Revolusi Industri 4.0 serta melahirkan para graduan yang dapat membantu negara mencapai Wawasan Brunei
    2035.

    Antara pameran yang diberigakan ialah mengetengahkan kaedah atau metodologi penggunaan teknologi dalam urusan perlaksanaan ibadah, dakwah, pengajaran, urusan kewangan dan sebagainya.

    Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyaksikan projek aplikasi Mushaf UNISSA yang merupakan di bawah Projek Mushaf UNISSA Digital iaitu kesinambungan projek penulisan Mushaf UNISSA yang ada masa ini.

    Di samping itu, projek digital tersebut juga diusahakan bagi menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi mempercepatkan pengukuhan transformasi
    digital.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan melancarkan buku-buku terbaharu terbitan UNISSA dan Open Journal System (OJS).

    Tahun ini, UNISSA telah berjaya menerbitkan 28 buah buku dalam pelbagai bidang hasil tulisan beberapa orang penulis tempatan dan luar negara.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama graduan cemerlang dan tenaga akademik yang baharu berkhidmat di UNISSA.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima pesambah berupa underwater remote operated vehicle (U-ROV) yang disembahkan oleh rektor UNISSA.

    Pada tahun ini, UNISSA memulakan kembali sambutan MHT setelah beberapa tahun ditiadakan disebabkan pandemik COVID-19.

    Tahun ini, MHT dikendalikan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Fakulti Teknologi Islam (FTI).

    MHT ke-12 diadakan bagi memeriahkan lagi Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA yang lazimnya diadakan setiap tahun bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian di UNISSA.

    MHT ke-12 juga adalah untuk memartabatkan UNISSA selaku institusi pendidikan tinggi Islam yang mampu bersaing dalam era digital dan menyerlahkan peranan pelajar UNISSA dalam kalangan masyarakat negara ini.

    Sepanjang acara MHT ke-12 UNISSA, taklimat kerjaya dan bengkel akan diadakan di samping Jualan Bazar Jaya yang dibukakan kepada kunjungan orang ramai bermula hari ini hingga 18 Ogos di Dewan Delima.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...