Berkenan rasmi pembukaan BGIC ke-16

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, kelmarin, berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Persidangan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) mengenai Isu-isu Global Borneo (BGIC) ke-16 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin lhsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menjadi Rakan Persidangan ISB bagi mempromosikan kepimpinan belia dan masyarakat untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.

Majlis telah dimulakan dengan sembah alu-aluan oleh Pengetua Eksekutif ISB, Laura Thomas diikuti dengan ucaptama tema persidangan, Youths Call for More Sustainable Cities and Communities yang disampaikan oleh penceramah undangan, Darren Tan yang mengetuai inisiatif outreach pendidikan dan masyarakat di ComCrop Singapura dan Chloe King, sarjana Fullbright 2019 Amerika Syarikat yang menjalankan penyelidikan pelancongan lestari di Sulawesi, Indonesia.

Majlis diteruskan dengan sabda Yang Teramat Mulia sebelum berkenan melancarkan persidangan tersebut.

Yang Teramat Mulia juga berkenan menerima pesambah berupa memento sebagai tanda junjung kasih ISB kerana merasmikan majlis.

Semasa acara tersebut, Yang Teramat Mulia turut berkenan menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil dari 25 buah sekolah yang menghadiri persidangan dan sijil penghargaan kepada penaja acara tersebut sebelum sesi bergambar ramai dengan penerima sijil.

Penaja utama persidangan tahun ini ialah Progresif Cellular Sdn Bhd, Bank Baiduri Berhad dan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd dan lain-lain.

ISB BGIC adalah model persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tahunan yang dipimpin oleh pelajar di mana para peserta mewakili pelbagai negara, berkongsi pandangan mereka mengenai isu semasa dan dunia sebenar.

Persidangan empat hari itu merupakan inisiatif yang bertujuan memperluaskan pemahaman pelajar terhadap kewarganegaraan global (global citizenship) dan meningkatkan kemahiran pengucapan awam dan rundingan mereka.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan bergambar ramai bersama perwakilan penaja bagi BGIC ke-16.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan merasmikan persidangan tersebut.