Berkenan rasmi Pesta Konvo ke-5 UTB

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pro-Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini, berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Pesta Konvo ke-5 UTB.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke UTB dijunjung oleh Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman dan Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Turut hadir di majlis perasmian pesta konvo berkenaan ialah ahli-ahli Majlis UTB, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, duta-duta, pegawai-pegawai kanan kerajaan, staf dan pelajar UTB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudian berkenan mengurniakan Sabda Perasmian Pesta Konvo Ke-5 UTB yang diikuti dengan laungan takbir dan tayangan multimedia.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah ke Majlis Perasmian Pesta Konvo ke-5 UTB.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama Majlis Perwakilan Pelajar UTB.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung berangkat menyaksikan pameran selepas merasmikan Pesta Konvo ke-5 UTB.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima junjung ziarah.

 

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran sempena Pesta Konvo ke-5 UTB.

Majlis diteruskan dengan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyempurnakan pelancaran Kompleks Sekolah Reka Bentuk, UTB. Kompleks berkenaan adalah bagi menampung pelajar-pelajar dari Sekolah Reka Bentuk yang pada masa ini menawarkan dua program baharu iaitu Sarjana Muda dalam jurusan Seni Bina dan Rekaan Produk.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudian berkenan melawat The University Shop, iaitu sebuah kedai yang menawarkan pelbagai barangan universiti yang memaparkan maskot utama UTB iaitu Awang Jubli bin Emas (A.J.) serta berkenan menyaksikan Pameran p³ES.

DYTM Pengiran Muda Mahkota kemudian dijunjung untuk menyaksikan pameran robotik, The Garden of Robotics di mana ia menunjukkan beberapa buah projek robotik termasuk reka bentuk dan teknologi dan percetakan 3D, menunjukkan cara-cara produk 3D direka, dimodelkan dan dibentuk menggunakan pencetak 3D.

Selain daripada itu, projek Cost Effective Line Following Robot for Hospital Delivery turut dipamerkan di mana projek berkenaan menunjukkan cara pengangkutan bahan-bahan secara kos efektif.

Projek Prosthetic Hand and Task-Based Control-Based Analysis juga turut dipamerkan dengan projek berkenaan menunjukkan pembuatan tangan palsu (prosthetic hand) menggunakan pencetak 3D.

Selepas menyaksikan pameran berkenaan, DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan bergambar ramai bersama beberapa orang wakil pelajar UTB dan juga menerima pesambah daripada Majlis Perwakilan Pelajar UTB.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama para pelajar UTB.

Pesta konvo diadakan setiap tahun bagi meraikan para pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka dan bakal menerima ijazah serta diploma masing-masing di Majlis Konvokesyen UTB yang akan berlangsung pada 29 September di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Bersempena dengan Pesta Konvo UTB Ke-5, beberapa acara turut diatur termasuk majlis khatam Al-Quran, UTB Biggest Heroes, EKK Open Week, pertandingan boling, Program Kepimpinan UTB, Bazar Buku Perpustakaan UTB, Book Charity Donation and Adoption, Pesta Filem UTB, Kempen Kesedaran Kesihatan Mental, Hari Keamanan Antarabangsa dan UTB Run & Cycle.