Berkenan rasmi pesta Thailand

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Sempena memperingati ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara Thailand dan Negara Brunei Darussalam, Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam mengadakan pesta besar-besaran di Bilik Sepakat 2 dan 3, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri telah berkenan berangkat merasmikan Pesta Besar-besaran Ulang Tahun ke-35 Hubungan Diplomatik Thailand-Brunei berkenaan, hari ini.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul.

Selepas merasmikan pesta tersebut, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna kemudian dijunjung melawat petak-petak pesta yang menjual pelbagai jenis makanan serta buah-buahan dari Thailand.

Antara makanan Thailand yang boleh didapati pada pameran berkenaan dan menjadi pilihan ramai pengunjung ialah popia segar, Miang Kham dan Som Tam yang diperbuat daripada buah betik muda, makanan laut kering, pulut mangga dan durian serta bermacam-macam lagi.

Selain beraneka jenis buah dan makanan, para pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan pelbagai jenis seni kraf tangan serta perhiasan dan produk tekstil dan juga produk herba.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan memotong reben bersama PYT Wanthanee Viputwongsakul sempena perasmian Pesta Besar-besaran Ulang Tahun ke-35 Hubungan Diplomatik Thailand-Brunei. – Gambar oleh James Kon
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung menikmati hidangan Thailand.
Antara buah-buahan yang terdapat pada pameran tersebut.