Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Berkenan rasmi Pusat YASKA

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, hari ini, berkenan berangkat menyempurnakan pembukaan rasmi Pusat Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) di Kampung Kiarong.

    Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Dr Hajah Norehan binti Haji Johari dan Naib Pengerusi YASKA, Dayang Tsara’Nawwarah binti Abdullah Chen.

    Dalam sembah alu-aluannya pada majlis berkenaan, Dr Hajah Norehan menyatakan bahawa secara global setiap tahun, dianggarkan lebih daripada 400,000 orang kanak-kanak dan golongan muda di bawah 20 tahun telah didiagnosis dengan kanser berdasarkan kepada data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari Disember 2021 yang bererti di serata dunia bagi setiap tiga minit, seorang kanak-kanak didiagnosis dengan kanser.

    Beliau seterusnya menyembahkan bahawa berdasarkan pendaftaran kanser Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), seramai 117 orang kanak-kanak di bawah usia 12 tahun telah didiagnosis dengan kanser antara 2010 hingga 2022.

    Mengulas mengenai penubuhan YASKA pada 2022, Dr Hajah Norehan menerangkan, ia bertujuan untuk memberikan sokongan kepada kanak-kanak menghidap kanser dan keluarga mereka serta untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ketika berkenan beramah mesra bersama bekas pesakit-pesakit kanser kanak-kanak.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menyempurnakan pembukaan rasmi Pusat YASKA.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan dijunjung bergambar ramai.
    Keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ke Majlis Pembukaan Rasmi Pusat YASKA, kelmarin.
    Bekas pesakit kanser YASKA bergambar ramai. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

    Dengan peningkatan kesedaran mengenai kanser kanak-kanak dalam masyarakat, orang ramai adalah lebih peka akan tanda-tanda awal kanser yang membawa kepada diagnosis dan rawatan awal serta meningkatkan kelangsungan hidup mereka.

    “Alhamdulillah, kematian kita daripada kanser dalam kanak-kanak telah menurun daripada 31 peratus kepada 27 peratus dalam 12 tahun kebelakangan ini.”

    Dengan kelangsungan hidup yang lebih baik, ulasnya, kita telah melihat lebih ramai kanak-kanak bekas pesakit kanser dan matlamat pusat ini, adalah untuk menyediakan sokongan berterusan dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

    Pusat itu akan menyediakan sebuah tempat bagi aktiviti-aktiviti rekreasi dan sosial bagi kanak-kanak, sebuah tempat bagi sokongan dan pembelajaran serta sokongan pengasuh dan permainan terapeutik.

    Beliau turut mengumumkan bahawa YASKA kini merupakan ahli kepada Childhood Cancer International iaitu sebuah organisasi sokongan pesakit terbesar yang melibatkan 94 buah negara.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah kemudian berkenan menyempurnakan pembukaan rasmi Pusat YASKA serta berkenan bertemu dengan bekas pesakit-pesakit kanser kanak-kanak.

    Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan pameran serta menerima sembah penerangan daripada Dr Hajah Norehan.

    Poster pertama menerangkan mengenai misi dan sumbangan YASKA kepada kesejahteraan dan penjagaan kanak-kanak yang mempunyai kanser.

    Poster kedua pula menerangkan mengenai insiden kanser dalam kanak-kanak di Brunei dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini dan jenis kanser dalam kalangan kanak-kanak di Brunei.

    Poster ketiga menerangkan mengenai komplikasi jangka panjang yang dihadapi oleh bekas pesakit kanser kanak-kanak apabila mereka membesar di mana adalah amat penting untuk memantau bagaimana ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan mereka.

    Manakala itu, poster keempat pula menerangkan salah satu tujuan utama pembukaan pusat berkenaan iaitu untuk menyediakan sebuah tempat di mana mereka boleh menjalankan aktiviti-aktiviti bagi bekas pesakit-pesakit kanser.

    Seterusnya, Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan bilik serba guna dengan sembah penerangan mengenai kegunaan bilik serba guna berkenaan diberikan oleh Dayang Tsara’ Nawwarah.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai di hadapan logo YASKA.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...