Berkenan rasmikan KAIB ke-12

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bagi merasmikan pembukaan Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) ke-12 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku penaung Jawatankuasa Tertinggi KAIB ke-12; Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak selaku Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Islam Sarawak, Datuk Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi juga selaku ahli Jawatankuasa Tertinggi KAIB; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku ahli Jawatankuasa Tertinggi KAIB; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi majlis yang lain.

KAIB ke-12 yang berlangsung selama dua hari hingga esok itu dianjurkan bersama oleh KUPU SB dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Islam Borneo, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Malaysia.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Pandu KAIB ke-12 dan BIHAS ke-2. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan meninjau salah satu produk semasa melawat petak pameran BIHAS. – Gambar oleh Infofoto
Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan menyaksikan pameran produk minuman semasa dijunjung melawat pameran BIHAS.
ATAS & BAWAH: Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar ramai bersama para peserta yang terlibat dalam mengendalikan pameran BIHAS 2.

Baginda Sultan ketika berkenan dijunjung bergambar ramai bersama peserta dari luar negara. – Gambar oleh Infofoto

Antara jemputan yang hadir pada majlis tersebut.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama yang antara lain menyembahkan bahawa keberangkatan Baginda Sultan ke majlis itu merupakan kecintaan Baginda kepada ilmu pengetahuan dan manifestasi intelektual dalam konteks yang berkaitan dengan bidang pembangunan dan perkembangan masyarakat Islam Borneo dalam keberagamaan budaya dan tradisi puak serta suku kaum penduduk dalam wilayah-wilayahnya yang hidup dengan mengamalkan kepercayaan agama yang berbeza namun kekal aman dan sentosa.

“Maka Konferensi Antarabangsa Islam Borneo yang sudah dianjurkan berkali-kali ini, tiga kali di Negara Brunei Darussalam, adalah dalam parameter mendukung dan memelihara keamanan serta kesentosaan dalam keberagamaan itu.

“Kita umat Islam dan rakyat serta penduduk wilayah-wilayah Borneo menjadikan usaha mencapai kemajuan kehidupan duniawi dan ukhrawi sebagai pemangkin keamanan dan keharmonian demi kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk Borneo dan seterusnya menyumbang kepada kestabilan tiga negara berjiran, Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Republik Indonesia,” tambah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama lagi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenaan mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan perasmian konferensi berkenaan.

Majlis diteruskan dengan tayangan klip video mengenai KAIB ke-12, diikuti dengan ceramah perdana bertajuk ‘Ilmu dan Amalan Penentu Kebitaraan Ummah’ yang disampaikan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar beramai-ramai yang dikepalai oleh mahasiswa KUPU SB, dan bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Selepas majlis perasmian berkenaan, Baginda Sultan beserta kerabat diraja dijunjung berangkat bagi menyaksikan Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) ke-2 yang turut diadakan sebagai acara sampingan bagi memeriahkan lagi penganjuran konferensi berkenaan.

Sebelum berangkat balik, Kebawah Duli Yang Maha Mulia beserta kerabat diraja dijunjung bagi bergambar ramai dengan ahli-ahli Jawatankuasa Pandu KAIB ke-12 dan BIHAS ke-2, 2019.

Dengan tema ‘Memperkasa Pasaran Halal Borneo’, BIHAS ke-2 dijadikan sebagai satu platform bagi menyatukan usahawan dan pengeluar produk halal di Borneo iaitu Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan di samping mempromosikan produk halal di rantau Borneo seterusnya ke mata dunia seperti produk makanan, minumam, kosmetik, farmaseutikal, perkhidmatan, pelancongan, kewangan, kesihatan, fesyen tekstil, bioteknologi dan herba.

Sebanyak 56 vendor menyertai BIHAS ke-2 2019 iaitu 21 dari Negara Brunei Darussalam, 16 dari Sabah, 14 dari Sarawak, tiga dari Indonesia dan dua daripada institusi pengajian tinggi.