Berkenan rasmikan pembukaan persidangan mmn ke-16

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-16 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Brunei Darussalam di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.

Turut berkenan berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Majlis gilang-gemilang dan penuh adat istiadat itu dimulakan dengan membunyikan loceng supaya ahli-ahli MMN mengambil tempat masing-masing yang telah disediakan.

Majlis diteruskan dengan perarakan Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib ke dalam Dewan Persidangan MMN.

Majlis bermula dengan Persidangan MMN bersidang untuk meneliti dan mengesahkan Minit Persidangan MMN, Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan ke-15 yang diadakan di Bangunan Dewan Majlis selama 11 hari bermula 7 hingga 23 Mac 2019.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat bagi memeriksa Barisan Kawalan Kehormat.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan dijunjung bergambar bersama Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet dan ahli-ahli MMN. – Gambar oleh Infofoto
Baginda Sultan ketika berkenan menerima junjung ziarah. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. – Gambar oleh Infofoto
Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara ketika mempengerusikan mesyuarat.
Yang Berhormat Mufti Kerajaan ketika membacakan doa pada majlis tersebut.

Antara yang menghadiri perasmian Persidangan MMN.

Yang Di-Pertua Dewan, seterusnya, menangguhkan mesyuarat bagi Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-16 untuk menunggu keberangkatan tiba Baginda Sultan bagi merasmikan persidangan berkenaan. Kemudian, pengiran-pengiran cheteria, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja, timbalan-timbalan menteri, ahli-ahli Majlis Ugama Islam, kedudukan khas, duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi luar negara tiba dan seterusnya mengambil tempat duduk masing-masing di dalam Dewan Persidangan MMN.

Seterusnya, Pasukan Perbarisan Kawalan Kehormat berserta Pancaragam Polis Diraja Brunei berkumpul di halaman Bangunan Dewan Majlis, bersiap sedia untuk tabik hormat.

Ketibaan Yang Di-Pertua Dewan disambut dengan Tabik Hormat Panglima, kemudian keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke Bangunan Dewan Majlis secara berasingan dijunjung oleh Yang Di-Pertua Dewan dan disembahkan Tabik Hormat Diraja.

Seterusnya, keberangkatan tiba Baginda Sultan ke Bangunan Dewan Majlis berkenaan dijunjung oleh Yang Di-Pertua Dewan dan disembahkan Tabik Hormat Diraja. Setelah loceng dibunyikan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara serta DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong berkenan berangkat ke Dewan Persidangan MMN.

Keberangkatan Baginda Sultan ke Dewan Persidangan diiringi oleh perarakan Cokmar dan Baginda berkenan mengurniakan titah pada majlis berkenaan. Selepas bertitah, Baginda Sultan berkenan bergambar ramai sebelum berangkat meninggalkan Bangunan Dewan Majlis.

Dengan perasmian itu, rakyat dan penduduk negara akan mengalihkan tumpuan mereka kepada perbahasan dan perbincangan mengenai isu-isu yang berbangkit serta usaha untuk menangani isu berkenan yang akan di ke utarakan oleh ahli-ahli perwakilan rakyat kepada ahli-ahli perwakilan kerajaan.

MMN dipengerusikan oleh Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN dengan dibantu oleh Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.

Ahli-ahli MMN seramai 36 orang terdiri daripada ahli-ahli rasmi kerana jawatan (perdana menteri dan menteri-menteri), ahli-ahli yang dilantik orang-orang bergelar, ahli-ahli yang dilantik orang yang telah mencapai kecemerlangan dan ahli-ahli yang dilantik mewakili daerah.

Mesyuarat akan membincangkan dan meluluskan perkara utama iaitu Rang Undang-undang Perbekalan tahunan bagi setiap kementerian dan jabatan kerajaan sebelum berakhirnya tahun kewangan pada setiap 31 Mac. Persidangan MMN pada tahun ini akan membincangkan Rang Undang-undang (2020) Perbekalan, 2020/2021 yang akan mula diguna pakai bermula 1 April 2020. MMN telah ditubuhkan menurut Bab 23 dari Perlembagaan Negara Brunei 1959 dan Ahli-ahlinya dilantik menurut Bab 24. MMN telah dibubarkan pada 1984 dan pada 25 September 2004, majlis telah mula bersidang semula.

Penubuhan persidangan ini adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-58 tahun pada 15 Julai 2004.

Persidangan pada tahun ini memasuki usia 16 tahun bersidang sejak ia diwujudkan semula, membincangkan perkara-perkara yang relevan dan berfaedah kepada negara, rakyat dan penduduk supaya dapat membawa perubahan besar dan berkepentingan kepada seisi negara. Persidangan akan disambung untuk bersidang esok bermula pukul 9:15 pagi. Sesi Persidangan MMN dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk mendengarkan perbincangan dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan MMN. Ia juga boleh dihadiri oleh mana-mana institusi pendidikan yang berminat untuk memberikan pendedahan kepada penuntut-penuntut atau mahasiswa/mahasiswi dengan tatacara membincangkan sesebuah rang undang-undang di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan dengan itu, bagi mana-mana pihak yang berhasrat untuk menghadiri sesi persidangan diminta untuk mematuhi beberapa peraturan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara untuk masuk ke Dewan Majlis termasuklah peraturan-peraturan semasa di dalam Dewan Persidangan MMN.