Berkenan saksikan acara boling

Oleh Fadhil Yunus

FILIPINA, 4 DIS – Atlet Brunei Darussalam meneruskan lagi persaingan dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 dalam perlawanan akhir boling yang melibatkan empat kumpulan dengan dua kumpulan menyertai Divisyen Lelaki dan dua kumpulan menyertai Divisyen Wanita yang diadakan di Coronado Lane di Starmall EDSA, kelmarin.

Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

Bagi kumpulan pasangan lelaki, Abu Khaledi Yussri bin Abu Bakar dan Awangku Haziqquddin bin Shah Wardi mewakili Brunei 1 sementara itu, Brunei 2 diwakili pasangan Mohammad Faiz Dzuhairy bin Dzarfan dan Muhammad Al-Amin bin Haji Abdul Hamid.

Pengiran Nadia Nabila binti Pengiran Abu Samah dan Fatin Nur Ashikin binti Abu Bakar mewakili pasangan wanita bagi Brunei 1 dan gandingan Siti Hawa Mardhatilah Natasya binti Haji Ahmad Rafie dan Fatin Adilah binti Haji Mahadi mewakili Brunei 2.

Pasukan Indonesia mendominasi acara boling selepas merangkul kedua-dua gelaran bagi acara lelaki dan wanita.

Dalam Acara Berpasangan Lelaki, pasangan Billy Muhammad Islam dan Hardy Rachmadian berdiri di atas podium bagi meraih pingat emas selepas menjatuhkan 2592 pin sementara itu, pasangan Thailand Atchariya Cheng dan Surasak Manuwong merampas pingat perak dengan 2564 jatuhan pin. Pasangan Malaysia Tun Hakim dan Rafiq Ismail meraih gangsa dengan 2556 mata.

Sharon Adelina Lima Santoso dan Tannya Roumimper meraih pingat emas untuk acara Berpasangan Wanita, diikuti pasangan Singapura, Shayna Ng dan New Hui Fen. Pingat gangsa pula diraih oleh pasangan Malaysia Cheah Mei Lan dan Sin Li Jane.

Aksi Mohammad Faiz Dzuhairy semasa perlawanan tersebut.