Berkenan saksikan kejohanan badminton

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Badminton Terbuka Aewon bagi hari kedua di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Menyertai kejohanan tersebut bagi Kategori Perseorangan Lelaki (B12) kelompok empat terakhir ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim. Turut berangkat pada perlawanan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

Pada perlawanan tersebut, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berdepan dengan Muhammad Talipudin bin Ermadena selepas berjaya menewaskan Muhammad Mirza Afif Syahmi bin Sofian dalam straight set dengan keputusan 21-16, 21-18, kelmarin.

Sementara itu dalam kategori yang sama, Dessen Chung Min Tin berjaya menewaskan Mohd Haziq bin Roze dengan keputusan 21-12,14-21, 21-16.

Dengan keputusan tersebut, Muhammad Talipudin akan bertemu dengan Dessen Chung Min Tin di peringkat akhir Kategori Perseorangan Lelaki (B12) pada 22 November ini.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim bersama pasangan regunya, Dessen Chung Min Tin akan bertanding menentang pasangan regu Muhammad Alif Zuhairi bin Ramlee dan Muhammad Al-Muttaqiy Billah bin Zulfa Erison di kelompok empat terakhir bagi Beregu Remaja Lelaki (B12) pada 22 November ini.

Beberapa kategori lain yang juga dipertandingkan pada hari ini ialah Kategori Beregu Terbuka Lelaki A, Beregu Terbuka Lelaki B, dan juga Beregu Terbuka Wanita.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Badminton Terbuka Aewon yang turut disertai anakanda, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Abdul Muntaqim di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah. – Gambar oleh Muiz Matdani
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah ketika berkenan berangkat menyaksikan kejohanan tersebut. – Gambar oleh Infofoto
Antara aksi yang dipamerkan oleh YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim semasa perlawanan tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani