Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Perdana Singapura di antara DPMM FC dan Tampines Rovers FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam tadi.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik serta kerabat diraja.
Dalam perlawanan tersebut, DPMM FC mencatat kemenangan dramatik 3-2, sekali gus memberikan kekalahan pertama kepada Tampines Rovers musim ini.
DPMM FC mendahului menerusi penyerang Miguel Oliveira yang menghasilkan penyudah kemas pada minit ke-14 selepas melakukan larian pantas.
Pasukan DPMM FC hampir menjaringkan gol kedua apabila diha-diahkan sepakan percuma dengan Hakeme Yazid Said mencuba nasib menewaskan penjaga gol Tampines, Syazwan Buhari.
Pasukan lawan turut terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila penyerang pasukan menerima hantaran lintang daripada Seia Kunori tetapi penjaga gol Brunei, Haimie anak Nyaring berjaya menepis cubaan tersebut.
Percubaan pertahanan Tampines, Shuya Yamashita, tersasar selepas menyambut sepakan sudut daripada Glen Kweh, yang merupakan satu lagi ancaman daripada pasukan lawan.
Oliveira kemudiannya cuba mencipta peluang secara bersendirian namun percubaannya berjaya diselamatkan oleh Syazwan. Manakala di pihak lawan, Faris Ramli gagal menyempurnakan hantaran daripada Glen.
Pasukan Gegar Gegar menerima tamparan apabila pemain import, Gabriel Gama, terpaksa dikeluarkan dari padang menggunakan ambulans selepas mengalami kecederaan serius.
Glen menyamakan kedudukan untuk pasukan lawan hanya tiga minit selepas separuh masa kedua bermula, sebelum Boris Kopitovic mencemaskan pasukan tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-59.
Ancaman serangan DPMM FC semakin pudar selepas pemain bintang, Hakeme Yazid Said, terpaksa dikeluarkan.
Walaupun kehilangan dua pemain utama akibat kecederaan dan pertukaran, DPMM FC tidak berputus asa.
Pemain gantian, Nazirrudin Ismail, menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-84 sebelum Oliveira menjaringkan gol kemenangan dua minit kemudian.
DPMM FC dijadualkan berdepan Hougang United pada 27 September ini dalam perlawanan seterusnya.