Berkenan sempurnakan ibadah korban

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, pada tahun ini, sekali lagi berkenan melaksanakan ibadah korban sunat bagi Baginda berdua dan kerabat Baginda.

Sehubungan itu, Baginda Sultan telah berkenan berangkat pada majlis ibadah korban yang berlangsung di perkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, kelmarin.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja ke perkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku penasihat-penasihat bersama jawatankuasa kerja majlis.

Sejurus selepas Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha, majlis ibadah korban diadakan yang menyaksikan sebanyak 180 ekor sapi dan 14 ekor kambing telah dikorbankan, di mana sebahagian daging ibadah korban sunat tersebut telah diagihkan kepada seramai 16,660 orang penerima.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menyempurnakan penyembelihan seekor kambing korban pada majlis yang diadakan di perkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah sejurus selepas menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ketika berkenan menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha berjemaah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong berkenan menadahkan tangan semasa doa dibacakan sebelum majlis ibadah korban diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz membaca Doa Selamat untuk memberkati majlis ibadah korban di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Antara jemaah yang hadir menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyempurnakan penyembelihan seekor kambing, manakala penyembelihan binatang-binatang korban Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat Baginda yang selebihnya disempurnakan di Pusat Penyembelihan PDS Abattoir Sdn Bhd, Kampung Batang Mitus, Mukim Kiudang, Daerah Tutong dan Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak, Lot G, Lampaki Kampung Mulaut, Daerah Brunei dan Muara.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Para penerima daging korban berkenaan ialah daripada kalangan asnaf fakir miskin serta tanggungan yang berdaftar di Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan di kalangan warga emas serta ibu tunggal yang berdaftar di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Daging-daging ibadah korban diagihkan terus ke tempat tinggal penerima oleh jawatankuasa majlis dengan bantuan sukarelawan di kalangan belia masjid, belia dakwah, belia KKBS serta ahli-ahli majlis perundingan kampung. Terdahulu sebelum itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja turut berkenan menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha berjemaah berserta ribuan umat Islam di negara ini yang diadakan serentak di masjid-masjid, surau dan balai-balai ibadat seluruh negara.

Sementara itu, di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar. Manakala khutbah Hari Raya Aidiladha dibacakan oleh Pegawai Masjid, Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.