Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Oktober – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah malam kelmarin berkenan berangkat menyaksikan Konsert Amal Toyota Classics di Art Centre, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan amal bernilai $45,000 kepada tiga buah badan kebajikan semasa acara itu. Antara badan kebajikan yang menerima sumbangan ialah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, An-Nur Harapan dan SMARTER Brunei masing-masing telah menerima $15,000.
Konsert amal oleh Orchestra of the Age of Enlightenment (OAE) yang berpangkalan di London, dibawakan oleh NBT (Brunei) Sdn Bhd dan Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) untuk menghiburkan hadirin dengan muzik klasik pada malam tersebut.
Orkestra disertai 36 orang anggota itu diketuai oleh Pengarah Muzik dan pemain Hapsikod, Steven Devine, disertai oleh Ketua dan pemain solo violin, Daniel Edgar, penyanyi soprano dari British, Charlotte Beament dan Pemain solo Violin, Kinga Ujszaszi.






OAE adalah salah sebuah orkestra yang terkemuka di dunia yang membawa nama mereka dari era di mana teras repertoir mereka adalah berdasarkan – ‘age of enlightenment’, dan mempunyai pemuzik yang telah menjadikan muzik mereka sebagai cerita yang mengejutkan, lucu, mendalam dan universal.
Mengambil kesempatan dari auditorium akustik tersebut, para penonton turut dihiburkan dengan lagu-lagu tempatan seperti ‘Balik Kampung’ dan ‘Kampong Ayer’.
Penasihat Eksekutif NBT (Brunei) Sdn Bhd, Ninan Chacko berkata bahawa setelah hampir tiga dekad sejak konsert pertama mereka pada 1990 di Brunei, sokongan untuk Toyota Classics semakin kuat, terutama dalam kalangan generasi muda.
“Setiap orang telah belajar dan mendapat faedah daripada Toyota Classics,” katanya.
Ninan Chacko menambah bahawa sejak tiga dekad yang lalu, Brunei Darussalam telah menunjukkan bahawa ia adalah masyarakat penyayang. Sebagai hasil daripada sokongan yang berterusan, menganjurkan konsert itu menjadi satu keutamaan bagi Toyota.
Turut hadir menyaksikan persembahan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin lhsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Presiden Toyota Motor Asia Pacific, Susumu Matsura, Ketua Pegawai Eksekutif lnchcape Asia (Syarikat Holding NBT) George Ashford dan pembesar-pembesar asing.
Acara amal kali ke-24 itu berjaya mengutip keseluruhan derma sejumlah $1,845,000 hasil daripada penjualan tiket-tiket untuk badan-badan amal di Brunei Darussalam sejak 1990.