Berkenan serah bendera Negara kepada kontinjen Sukan Sea

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), pagi tadi, telah berkenan berangkat ke Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-31 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Negara Brunei Darussalam akan menghantar kontinjen bagi menyertai Sukan SEA ke-31 yang akan diadakan di Hanoi, Vietnam bermula 12 hingga 23 Mei di mana kontinjen negara dianggotai seramai 39 orang terdiri daripada 23 orang atlet dan 16 orang pegawai termasuk chef de mission, urus setia, pengurus pasukan, jurulatih dan pegawai perubatan.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin dan diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Sebagai kemuncak majlis Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda sebelum menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly selaku chef de mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-31.

Sementara itu, bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara berkenan dijunjung bagi bergambar ramai bersama kontinjen negara.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan menyerahkan bendera negara kepada Haji Mohamad Rosfazilah.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara berkenan beramah mesra bersama atlet-atlet sebelum mereka berlepas ke Hanoi.

Sebelum berangkat me-ninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung bergambar ramai.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam Ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Van Khoa; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan, persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta para ibu bapa dan penjaga.

Bagi Sukan SEA kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai empat acara sukan iaitu e-sukan, karate do, pencak silat dan wusyu.

Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan SEA pada 1977 dan hingga ke hari ini negara telah memperolehi 14 pingat emas, 56 pingat perak dan 184 pingat gangsa secara keseluruhan.

Pencapaian terbaik negara ialah semasa negara menjadi tuan rumah pada 1999 dengan meraih empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa.

Kali terakhir negara menyertai Sukan SEA ialah pada 2019 di Republik Filipina dengan memperoleh dua pingat emas, lima pingat perak, dan enam pingat gangsa. Kontinjen negara dijangka bertolak secara berperingkat-peringkat bermula esok, 6 Mei.