Berkenan serah bendera negara kepada kontinjen Sukan SEA

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan untuk menghantar kontinjen bagi menyertai Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-30 di Filipina yang akan diadakan secara rasminya bermula pada 30 November hingga 11 Disember nanti.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 161 orang yang terdiri daripada 87 orang atlet dan 74 orang pegawai termasuk chef de mission, assistant chef de mission, ketua urus setia, pegawai urus setia, pegawai perhubungan, pengurus pasukan, jurulatih dan pegawai, doktor serta fisioterapi.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA ke-30, Filipina 2019 diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Berangkat bagi menyempurnakan majlis penyerahan bendera berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Haji Muhd Zamri. Turut berangkat ialah YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyampaikan sembah alu-aluannya di Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019 yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Turut hadir di majlis penyerahan bendera negara berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Duta Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Christopher B. Montero; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Pengurusan dan Dasar), KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan serta Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan lainnya.

Majlis itu juga dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan KKBS serta para ibubapa dan penjaga para ahli kontinjen.Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dalam sembah alu-aluannya menyatakan para atlet hendaklah merasa bangga kerana pemilihan setiap atlet itu adalah berdasarkan tahap kemahiran, profesionalisme dan komitmen tinggi yang terbaik antara yang terbaik.

“Tidak dapat dinafikan, bukanlah senang untuk meraih tahap ini, kerana ia hanya dapat dicapai hasil pengorbanan dan pelaburan tenaga intensif yang telah diharungi oleh para atlet secara berterusan.”

Beliau juga menyatakan bahawa kontinjen negara sudah siap siaga untuk mencapai yang terbaik dan keraihan pingat bukannya satu perkara yang tidak dapat dikecapi.

“Setiap atlet kita memang berupaya untuk bertanding dengan atlet-atlet lain, dan kita amatlah yakin atlet kita akan mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam dengan penuh kemegahan.”

Beliau menyatakan bahawa perkara paling mustahak ialah keyakinan yang tinggi ke arah mencapai kejayaan itu yang disertakan dengan doa.

“Ingatlah, harapan negara ialah para atlet akan beraksi dengan cemerlang dan bersungguh-sungguh demi meraih kemenangan di setiap acara sukan yang disertai di samping memperbaiki rekod-rekod kemenangan negara daripada kejohanan-kejohanan Sukan SEA sebelum ini.”

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menegaskan bahawa para atlet hendaklah sentiasa memiliki tahap disiplin yang tinggi dan semangat kesukanan yang jitu dan kompetitif serat di samping itu, menjaga tatasusila, nama baik dan imej Negara Brunei Darussalam.

“Tunjukkanlah dan banggakanlah bahawa para atlet adalah anak Brunei yang saling hormat-menghormati dengan berpegang teguh kepada Falsafah Melayu Islam Beraja di samping berkeupayaan untuk bersaing dengan kompetitif ke arah mencapai yang terbaik.”

Majlis kemudian menyaksikan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara berkenan menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.

Pada Sukan SEA Ke-30, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak 14 acara sukan iaitu akuatik, olahraga, sukan biliard, lawan pedang, bola sepak, golf, karatedo, boling padang, bola jaring, pencak silat, polo, taekwando, tenpin boling dan wushu.

Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan SEA pada tahun 1977 dan hingga ke hari ini negara telah memperoleh sebanyak 12 pingat emas, 51 pingat perak dan 178 pingat gangsa di mana pencapaian terbaik ialah semasa negara menjadi tuan rumah pada 1999 dengan negara meraih sebanyak empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa.

Kontinjen negara dijangka bertolak ke Manila, Filipina secara berperingkat-peringkat bermula pada 22 November.