Berkenan sertai mesyuarat APEC hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menyertai Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-28, yang akan berlangsung secara maya melalui persidangan video pada malam esok.

Mesyuarat APEC ke-28 dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand, Puan Yang Terutama Jacinda Ardern, selaku pengerusi APEC bagi tahun 2021.

Selaras dengan tumpuan utama dan prioriti pengerusi APEC pada tahun ini, New Zealand dan para ketua ekonomi APEC akan berbincang mengenai mempercepat pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19, termasuk cabaran dan peluang pasca pandemik, serta tindak balas kesihatan, perdagangan dan ekonomi serantau terhadap pandemik.