Berkenan sertai pertandingan memanah

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Persatuan Memanah Negara Brunei Darussalam hari ini mengadakan Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi bagi persatuan berkenaan dan diselajurkan dengan Pembukaan Rasmi Pertandingan Memanah (BDAA Trophy 2019) bertempat di Kompleks Sukan Jerudong.

Berkenan berangkat ke acara tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, yang telah menyertai dalam Kategori Individual Recurve Female.Turut berangkat menyaksikan pertandingan memanah berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.

Majlis pelancaran laman web rasmi tersebut disempurnakan oleh Presiden Persatuan Memanah Negara Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan, Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohammad Jaafar bin Haji Abdul Aziz.

Berucap dalam majlis tersebut, Yang Dimuliakan Pehin berharap dengan adanya laman web tersebut, ianya akan dapat mempermudahkan perkongsian informasi kepada orang ramai tentang Persatuan Memanah, di samping menonjolkan paparan maklumat terkini, serta menyimpan bahan-bahan arkib yang ingin dijadikan rujukan.

Selain itu, Yang Dimuliakan Pehin juga turut mengingatkan mana-mana kelab yang ingin menjalankan aktiviti sukan memanah dikehendaki bernaung di bawah Persatuan Memanah Negara Brunei Darussalam (BDAA) dan melaksanakan dan mematuhi syarat-syarat dan juga garis pandu yang telah ditetapkan oleh pihak persatuan.

Pertandingan diadakan antara lain bertujuan untuk meningkatkan sukan memanah di Negara Brunei Darussalam sekali gus mencari bakat-bakat muda yang nanti dapat dijadikan atlet untuk mewakili persatuan dan juga negara dalam mana-mana pertandingan memanah di peringkat antarabangsa.

Pada perlawanan petang tadi, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir bagi acara Individual Female Recurve di mana Yang Teramat Mulia berjaya menduduki tempat pertama dan mendahului peserta-peserta lainnya dengan mata terkumpul 482/600.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri  Pengiran Anak Sarah akan meneruskan saingan dalam acara Female Recurve dan Team Recurve Mix bagi peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada petang hari Ahad, 8 Disember 2019.

Pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Memanah Negara Brunei Darussalam tersebut telah berjaya menarik sebanyak lebih 80 penyertaan dalam 11 kategori pertandingan yang diadakan selama tiga hari tersebut.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi Persatuan Memanah Negara Brunei Darussalam dan Pembukaan Rasmi Pertandingan Memanah (BDAA Trophy 2019) di Kompleks Sukan Jerudong. Berangkat sama ialah YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan ikut serta dalam kejohanan tersebut.
Presiden Persatuan Memanah Negara Brunei Darussalam menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.