Berkenan terima lantikan

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) berkenan menerima lantikan sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFF).

Pelantikan tersebut diumumkan semasa Mesyuarat Majlis AFF ke-4 bagi sesi 2019/2023 yang diadakan di Hanoi, Vietnam hari ini.

Menurut laman web rasmi AFF, Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata, “Saya dengan rasa penuh hormat mengesahkan bahawa saya telah melantik Duli Yang Teramat Mulia sebagai Timbalan Presiden AFF. Duli Yang Teramat Mulia sangat berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang sukan, terutamanya dalam bola sepak, dan akan memberikan perspektif yang berharga kepada AFF. Saya berharap dapat bekerja rapat dengannya. “

Pelantikan Duli Yang Teramat Mulia adalah berdasarkan Artikel 18 Perlembagaan AFF yang menyatakan bahawa Presiden AFF akan melantik seorang timbalan presiden daripada kalangan empat naib presiden AFF.

Pelantikan Duli Yang Teramat Mulia diikuti dengan pelantikan tiga lagi naib presiden AFF iaitu Dato Sri Francisco Kalbuadi Lay, Lim Kia Tong dan Ratu Tisha Destria.

Sementara itu, AFF juga telah mendedahkan bahawa Indonesia dan Thailand akan menjadi tuan rumah tujuh daripada lapan pertandingan tahunan yang dijadualkan pada tahun hadapan.

Indonesia akan menganjurkan empat acara tahun hadapan iaitu AFF Lelaki B19, AFF Lelaki B16, AFF Perempuan B19 dan AFF Perempuan B15/B16.

Manakala Thailand pula akan menganjurkan tiga pertandingan iaitu AFF Kejohanan Futsal, AFF Kelab Futsal dan AFF Bola Sepak Pantai. Sementara Filipina akan menganjurkan Kejohanan Wanita AFF.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ketika berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis AFF ke-4 bagi sesi 2019/2023 yang diadakan di Hanoi, Vietnam.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) berkenan menerima lantikan sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFF) semasa Mesyuarat Majlis AFF ke-4 bagi sesi 2019/2023 yang diadakan di Hanoi, Vietnam.