Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan terima mengadap

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan menerima mengadap Pemerintah Angkatan Bersenjata Polinesia Perancis, Pemerintah Pusat Uji Kaji Pasifik, Pemerintah Zon Maritim Lautan Pasifik dan Polinesia Perancis, dan Pemerintah Pangkalan Pertahanan Polinesia Perancis, Laksamana Muda Geoffroy d’Andigne di Istana Nurul Iman.

              Menyertai Laksamana Muda Geoffroy d’Andigne ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-Fabre dan Atase Pertahanan Perancis di Republik Singapura yang juga diiktiraf ke Negara Brunei Darussalam, Kapten (L) Riaz Akhoune.

              Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

              Laksamana Muda Geoffroy d’Andigne dan rombongan berada di negara ini bagi lawatan rasmi selama lima hari dari 23 hingga 27 September.

              Lawatan mengukuhkan lagi hubungan pertahanan dan ketenteraan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Perancis, yang mana kedua-dua buah negara mempunyai kerjasama dua hala dalam bidang pertahanan dan ketenteraan yang kian meningkat sejak penandatanganan memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang-bidang pertahanan dan kelengkapan pertahanan pada 25 Februari 1999.

     

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima pesambah daripada Laksamana Muda Geoffroy d’Andigne.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap Laksamana Muda Geoffroy d’Andigne di Istana Nurul Iman.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda