Berkenan terima mengadap

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Panglima United States Indo-Pacific Command, Laksamana Philip S. Davidson.

Menyertai Laksamana Davidson ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Matthew J Matthews dan Foreign Policy Advisor, James Caruso.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Laksamana Davidson dan delegasi berada di Brunei Darussalam bagi lawatan pengenalan selama dua hari, bermula kelmarin.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan menerima pesambah daripada Panglima United States Indo-Pacific Command, Laksamana Philip S Davidson. – Gambar oleh Muiz Matdani
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima mengadap Laksamana Philip S. Davidson.

Kerjasama pertahanan dan ketenteraan antara Brunei dan AS telah dimeterai melalui pe-nandatanganan memorandum persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada 29 November 1994.

Kedua-dua pihak mempunyai hubungan pertahanan yang mesra dan lama terjalin merangkumi pelbagai interaksi termasuk pertukaran lawatan, mesyuarat pertahanan dan ketenteraan, eksesais ketenteraan, latihan dan kursus.

Kedua-dua buah Negara juga saling bekerjasama di peringkat pelbagai hala seperti Southeast Asia Cooperation and Training (SEACAT) dan juga ASEAN Defence Ministers’ Meeting-Plus (ADMM-Plus).

Brunei dan AS baru-baru ini juga telah menamatkan mesyuarat perancangan akhir bagi eksesais dua hala Cooperation  Afloat Readiness and Training (CARAT) yang diadakan pada Ogos lalu.

Eksesais CARAT tahun ini dirancang untuk diadakan sekitar Oktober.