Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Dr Jose Ramos-Horta serta rombongan.
Terdahulu sebelum itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berangkat bersama Tuan Yang Terutama dari hotel The Empire Brunei menuju ke Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama di perkarangan Istana Nurul Iman, dan seterusnya bersama-sama naik ke pentas khas untuk menerima tabik hormat dengan diiringi lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan 21 das tembakan meriam.
Kedua-dua pemimpin seterusnya beredar memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
TYT Dr Jose Ramos-Horta diperkenalkan kepada kerabat diraja, pengiran-pengiran cheteria, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, timbalan-timbalan menteri, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, ketua-ketua perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan setiausaha-setiausaha tetap di JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan Tuan Yang Terutama termasuk Naib Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, serta Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama.
Selesai Majlis Sambutan Rasmi Negara, Baginda Sultan berangkat bersama Tuan Yang Terutama ke Cheradi Laila Kenchana bagi majlis mengadap. Berangkat sama ialah kerabat diraja.
Baginda Sultan seterusnya mengadakan Majlis Perjumpaan Empat Mata dengan Tuan Yang Terutama yang mana kedua-dua pemimpin berbincang bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Timor-Leste, serta isu-isu yang berkepenti-ngan bersama kepada kedua-dua buah negara.
Selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Tuan Yang Terutama di Baitul Mesyuarah di mana Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah mengalu-alukan Tuan Yang Terutama atas lawatan negara yang pertama ke Negara Brunei Darussalam dan menyatakan bahawa lawatan terakhir Tuan Yang Terutama adalah lebih 20 tahun yang lalu.
Oleh itu, Baginda bertitah bahawa lawatan negara ini mencerminkan persahabatan yang telah lama terjalin dan komitmen dalam merapatkan hubungan antara kedua-dua buah negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menekankan bahawa kerjasama dua hala telah berkembang maju dalam banyak bidang sejak hubungan diplomatik ditubuhkan pada tahun 2002 dan dengan itu, Baginda menzahirkan harapan untuk meneruskan kerjasama dalam meningkatkan lagi hubungan muhibah dan persahabatan antara kedua-dua buah negara.
Ia diikuti dengan ucapan balas Tuan Yang Terutama yang antara lainnya menzahirkan penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas layanan baik dan mesra yang telah diberikan kepada Tuan Yang Terutama serta delegasi.
TYT Dr Jose Ramos-Horta juga menekankan sokongan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap proses pembangunan negara dan pengintegrasian serantau Timor-Leste ke dalam ASEAN.
Dalam hal itu, lawatan negara berkenaan memberikan peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala, isu-isu serantau dan global serta untuk meneroka langkah-langkah bagi memperkukuhkan dan memperdalamkan lagi hubungan berkenaan.
Semasa majlis perjumpaan itu juga, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan kerjasama dua hala yang sedia ada termasuk dalam bidang pendidikan dan pertukaran antara rakyat, dan mengalu-alukan pengukuhan hubungan dalam bidang kerjasama kesihatan dan tenaga serta penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan Pekerja Timor-Leste ke Brunei Darussalam.
Tambahan lagi, Negara Brunei Darussalam akan menawarkan dua biasiswa pasca-siswazah tahunan dalam tempoh tiga tahun akan datang di institusi-institusi pendidikan tinggi terpilih bagi penuntut-penuntut Timor-Leste untuk melanjutkan pelajaran di negara ini yang bermula pada 2024.
Perbincangan juga mengetengahkan sokongan berterusan Brunei terhadap keahlian Republik Demokratik Timor-Leste dalam ASEAN, serta menyentuh perkembangan serantau dan antarabangsa.
Selesai majlis perjumpaan dua hala tersebut, Baginda Sultan dan TYT Dr Jose Ramos-Horta menyaksikan majlis penandatanganan MoU tersebut.
Penandatanganan telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Naib Perdana Menteri, Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Tuan Yang Terutama Francisco Kalbuadi Lay bagi pihak kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste.
Turut menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.