LONDON, 28 April – Paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Kapten Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, telah berkenan berangkat menerima sijil tamat latihan setelah berjaya menjalani Kursus Pelatih Juruterbang di majlis penganugerahan yang telah diadakan di Deadalus Officers Mess, Royal Air Force Cranwell, United Kingdom hari ini.
Sejurus keberangkatan tiba di Royal Air Force Cranwell, Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh Commodore Peter Squires, Commandant Royal Air Force College Cranwell.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Kapten Pengiran Muda ‘Abdul Mateen telah dianugerahkan sijil tamat latihan oleh Group Captain Jez Milne, Commandant 3 Flying Training School.
Yang Teramat Mulia menjalani latihan juruterbang asas selama tujuh bulan di 67 Squadron Royal Air Force Cranwell. Seramai 12 pelatih turut menjalani latihan yang terdiri daripada pelatih-pelatih dari Tentera Udara Diraja Saudi, Tentera Udara Kuwait dan Tentera Udara Diraja British.
Di sepanjang latihan pelatih-pelatih telah menerbangkan pesawat Fixed Wing Tutor Grobe 115.


Berangkat hadir ke majlis penganugerahan sijil tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji ‘Abdul Azim dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah. Majlis juga dihadiri oleh pegawai-pegawai eksekutif dari Royal Air Force Cranwell dan Royal Air Force Shawbury serta pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom.
Majlis penganugerahan sijil diakhiri dengan lawatan ke 57 Squardron dimana taklimat diberikan oleh Squadron Leader, Mike Waring, Officer Commanding 57 Squadron dan seterusnya menyaksikan tayangan video mengenai perjalanan kursus dan menyaksikan pertunjukan statik1 pesawat Fixed Wing Tutor Grobe 115.