Monday, March 17, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berkenan tinjau projek pembangunan

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jan – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-10, hari ini, berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja buat kali kesembilan ke beberapa buah tapak Projek RKN ke-10 khususnya bagi projek-projek di bawah Kementerian Pembangunan.

    Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di pejabat tapak projek dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim selaku timbalan pengerusi Jawatankuasa Tertinggi RKN ke-10; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi RKN ke-10.

    Sejurus ketibaan, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat bagi mendengarkan sembah taklimat yang dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.

    Majlis diteruskan dengan sembah taklimat oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin, mengenai projek-projek yang akan dilawati semasa lawatan kerja berkenaan.

    Selesai mendengarkan sembah taklimat, Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung dan diiringi oleh Menteri Pembangunan untuk berangkat melawat Tapak Projek Revitalisasi Kampong Ayer Zone ‘A’, menebus guna dan menambak dari Kuala Sungai Kedayan hingga ke Jambatan Edinburgh di mana Duli Yang Teramat Mulia menerima sembah penerangan daripada Pemangku Pengarah Saliran dan Pembetungan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Haji Mohd Salleh bin Haji Abdul Karim, mengenai status terkini projek tersebut.

    Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengar sembah penerangan ketika berangkat membuat lawatan kerja dari Kuala Sungai Kedayan ke Jambatan Edinburgh.
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengar sembah penerangan ketika berangkat membuat lawatan kerja dari Kuala Sungai Kedayan ke Jambatan Edinburgh.
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama pihak-pihak yang terlibat di Tapak ProjekPembinaan Jambatan Penghubung dari Sungai Kebun ke Jalan Residency.
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama pihak-pihak yang terlibat di Tapak ProjekPembinaan Jambatan Penghubung dari Sungai Kebun ke Jalan Residency.
    Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat ke tapak Projek Revitalisasi Kampong Ayer Zone ‘A’. - Gambar-gambar oleh Muiz Matdani
    Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat ke tapak Projek Revitalisasi Kampong Ayer Zone ‘A’. – Gambar-gambar oleh Muiz Matdani
    DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan menaiki buggy ke tapak Projek Revitalisasi Kampong Ayer Zone ‘A’. – Gambar Infofoto
    DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan menaiki buggy ke tapak Projek Revitalisasi Kampong Ayer Zone ‘A’. – Gambar Infofoto
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan menandatangani plak kenangan keberangkatan di kawasan projek dari Kuala Sungai Kedayan ke Jambatan Edinburgh.
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan menandatangani plak kenangan keberangkatan di kawasan projek dari Kuala Sungai Kedayan ke Jambatan Edinburgh.
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengarkan sembah taklimat mengenai perkembangan projek-projek yang dijalankan.
    Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengarkan sembah taklimat mengenai perkembangan projek-projek yang dijalankan.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung beredar ke Tapak Projek Revitalisasi berdekatan kawasan Jeti Kampung Sumbiling. Di sana, Duli Yang Teramat Mulia menerima sembah penerangan daripada Pemangku Jurutera Kerja, JKR, Pengiran Muhammad Fuad bin Pengiran Haji Ali.

    Sejurus itu, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung bagi menandatangani lembaran kenangan diikuti dengan sesi bergambar ramai.

    Projek untuk mengurangkan kejadian banjir di kawasan-kawasan tadahan Sungai Kedayan yang dijadualkan siap pada Mei 2018 itu juga dibangunkan untuk memperbaiki lagi kesaling-hubungan, mempromosi dan membudayakan gaya hidup sihat serta menyediakan platform bagi pembangunan ekonomi pada masa akan datang.

    Selesai lawatan ke tapak projek berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung beredar ke Tarindak D’Seni untuk melihat pemandangan keseluruhan tapak projek yang akan dilawati seterusnya iaitu Fasa 2 Projek Pembesaran Jalan Residency.

    Di sana, Duli Yang Teramat Mulia telah berkenan mendengarkan sembah penerangan mengenai projek itu yang disembahkan oleh Pemangku Pengarah Jalan Raya, JKR, Haji Mazlan bin Haji Abdul Salim dan seterusnya berkenan menikmati santap pagi.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan berangkat ke Tapak Projek Pembesaran Jalan Residency (Fasa 2) untuk melihat dengan lebih dekat lagi perkembangan projek di mana Duli Yang Teramat Mulia menerima sembah penerangan daripada Pemangku Penolong Pengarah Jalan Raya, JKR, Awang Rafitra bin Haji Abdul Razak.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudian dijunjung bagi menandatangani lembaran kenangan diikuti dengan sesi bergambar ramai serta dijunjung untuk berangkat melawat tapak Projek Pembinaan Jambatan Penghubung dari Sungai Kebun ke Jalan Residency.

    Tapak Projek Revitalisasi Kampong Ayer Zone ‘A’ yang kini giat dibangunkan.
    Tapak Projek Revitalisasi Kampong Ayer Zone ‘A’ yang kini giat dibangunkan.

    Di sana, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengarkan sembah penerangan daripada Pemangku Pengarah Jalan Raya, sebelum berkenan menaiki kenderaan khas untuk meninjau sepanjang jambatan sehingga ke hujung Jalan Sungai Kebun.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung berangkat ke pertengahan jambatan penghubung berkenaan untuk mendengarkan sembah penerangan sebelum menandatangani lembaran kenangan dan bergambar ramai pada mengakhiri lawatan kerja hari ini.

    Projek pembinaan jambatan berkenaan merupakan salah satu projek di bawah RKN ke-10 untuk menghubungkan dua buah kawasan utama di negara ini iaitu Mukim Lumapas dan sekitarnya dengan Pusat Bandar, Bandar Seri Begawan.

    Projek itu melibatkan pembinaan sebuah jambatan ‘Cable Stayed Bridge’ sepanjang 607 meter melibatkan pembinaan dua buah jejambat untuk menghubungkan rangkaian jalan raya sedia ada iaitu Jalan Residency dan juga Jalan Tarap Bau, Kampung Sungai Kebun.

    Jambatan ‘Cable Stayed Bridge’ merupakan yang pertama dibina di negara ini dan akan menjadi mercu tanda terutama bagi Pusat Bandar, Bandar Seri Begawan.

    Setelah siap nanti, dianggarkan kira-kira 9,000 buah kenderaan akan menggunakan laluan menuju ke jambatan itu, sekali gus dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Bengkurong Masin dan Jalan Tutong.

    Lawatan kerja Duli Yang Teramat Mulia ke tapak-tapak projek RKN ke-10 ini mencerminkan kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia dalam memastikan perlaksanaan projek-projek yang dirancang berjalan lancar demi mendokong hasrat negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda