Berkenan tinjau sekolah di Temburong

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Sim Y.H. & Infofoto

BANGAR, 18 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan mengadakan lawatan ke empat buah institusi pendidikan di Daerah Temburong.

Lawatan termasuk Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar dan dua buah sekolah rendah, Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi dan Sekolah Rendah Puni serta sebuah sekolah agama iaitu Sekolah Ugama Bokok.

Baginda Sultan memulakan lawatan dengan meninjau kemudahan yang terdapat di Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar dan dalam lawatan berkenaan, Baginda berkenan menerima sembah penerangan daripada pengetua sekolah, Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia.

Juga hadir semasa lawatan berkenaan ialah Pemangku Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Semasa lawatan, Baginda berkenan menyaksikan dengan lebih dekat pembelajaran dan kemudahan yang terdapat di sekolah yang pada awalnya dikenali sebagai Sekolah Melayu Sultan Hassan pada 1962 sebelum ditukar menjadi Sekolah Menengah Melayu Sultan Hassan pada 1969 dan menjadi Sekolah Menengah Sultan Hassan pada 1976 dan pada 1984, sekolah baharu dibina di atas tapak sekarang.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berinteraksi bersama pelajar Sekolah Rendah Puni.
Baginda Sultan ketika berkenan melawat Sekolah Rendah Puni.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai dengan murid-murid Sekolah Rendah Sultan Hashim.
Baginda Sultan berkenan menyaksikan lebih dekat pembelajaran kelas di Sekolah Menengah Sultan Hassan.
Baginda Sultan berkenan melihat dengan lebih dekat pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di Sekolah Rendah Sultan Hashim.

Pada masa ini, lebih 600 orang penuntut belajar di sekolah berkenaan, di mana sepanjang lawatan Baginda berkenan mendekati para penuntut bagi mengetahui lebih dekat lagi perkembangan pendidikan serta aktiviti para pelajar.

Baginda Sultan kemudian meneruskan lawatan ke Sekolah Rendah Sultan Hashim di mana Baginda berkenan menerima sembah penerangan daripada guru besar sekolah, Hajah Noraini binti Namit.

Baginda seterusnya dijunjung untuk menyaksikan lebih dekat pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah menengah berkenaan di mana para pelajar diberikan pendidikan bukan sahaja dalam bidang akademik khususnya membaca, mengeja dan mengira tetapi juga daripada segi kreativiti dan kemahiran hidup.

Ditubuhkan pada 1955, ia merupakan antara sekolah yang tertua di Daerah Temburong.
Pada masa ini, seramai 111 orang murid belajar di sekolah berkenaan dari kelas pra hingga Tahun 6. Pada 23 Februari 1957, bangunan kekal blok A, sekolah berkenaan telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Baginda Sultan seterusnya berkenan meneruskan keberangkatan dengan melawat Sekolah Rendah Puni yang mula beroperasi pada 1950 yang dikenali sebagai Sekolah Melayu Puni.
Ia telah dibina secara bergotong-royong oleh warga kampung dengan bangunan asal sekolah ialah sebuah blok pentadbiran dan sebuah rumah guru yang berbentuk sementara.
Pada 1956, bangunan sekolah telah dibaik pulih dan telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Sementara itu, pada 1970, dua lagi blok telah dibina iaitu blok akon dan dewan sekolah yang masih lagi terdapat sehingga ke hari ini. Keluasan kawasan sekolah berkenaan ialah 1.281 hektar atau 3.165 ekar.

Baginda kemudian berkenan berangkat ke Sekolah Ugama Bokok.

Lawatan ke institusi-institusi pendidikan itu menunjukkan Baginda sentiasa mengambil perhatian berat tentang kesejahteraan dan keperluan pelajar-pelajar sekolah.

Ini bagi memastikan mereka mendapatkan pendidikan yang menyeluruh bukan sahaja terhad kepada pencapaian akademik tetapi juga kemahiran kehidupan, daya kreativiti serta keyakinan diri yang tinggi dengan ilmu pengetahuan agama yang menjadi cara hidup mereka.