Berkenan tunai solat Aidilfitri

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli bersama rakyat dan penduduk bagi menunaikan sembahyang Sunat Aidilfitri di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, kelmarin.

Turut berkenan berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Menjunjung keberangkatan Baginda Sultan berserta paduka-paduka anakanda ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Negara Brunei Darussalam dan seluruh masyarakat merafakkan kesyukuran atas kesempatan meraikan hari kemenangan setelah sebulan mengharungi cabaran menjalani ibadah puasa Ramadan.

Anugerah Aidilfitri yang disambut pada tahun 1443 Hijrah ini semestinya diperbesarkan dengan pujian takbir, tasbih dan juga tahmid sejak malam semalam di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara setelah diumumkan sabit kelihatan hasil merukyah ‘hilal’ Syawal.

Pada hari tersebut, sembahyang Sunat Hari Raya diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.

Manakala, khutbah Aidilfitri telah dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat bercemar duli bersama rakyat dan penduduk bagi menunaikan sembahyang Sunat Aidilfitri di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah. Turut berkenan berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.