Berkenan utus takziah dan tahniah

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menghantar dua titah perutusan iaitu takziah dan tahniah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menghantar perutusan takziah kepada Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Joko Widodo dan kerajaan serta rakyat Indonesia dan juga Presiden Demokratik Republik Timor Leste, TYT Francisco Guterres Lu-Olo; Perdana Menteri Demokratik Republik Timor Leste, TYT Taur Matan Ruak dan kerajaan serta rakyat Demokratik Republik Timor Leste berikutan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh akibat Taufan Seroja yang berlaku baru-baru ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda.

Sementara dalam perutusan tahniah berasingan, Baginda Sultan berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada TYT Nguyen Xuan Phuc berikutan pelantikan sebagai Presiden Republik Sosialis Vietnam dan juga TYT Pham Minh Chinh sebagai Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam.